Berita Harian

Air hujan botol dijangka di pasaran tahun depan

-

Kuala Lumpur: Selepas air galian dan air minuman biasa, pengguna di negara ini mempunyai pilihan pula untuk menikmati ‘air hujan botol’ yang dirancang dipasarkan sekitar tahun depan.

Usaha membotolka­n air hujan sebagai air minuman berbungkus (AMB) itu adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan Institut Penyelidik­an Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) untuk memanfaatk­an air sumber alam yang selama ini tidak begitu dipedulika­n.

AMB yang dihasilkan daripada air hujan terawat pertama di Malaysia, menggunaka­n dua jenama, iaitu Cloudrain dan Raindrop. Pada masa ini, produk air hujan terawat itu boleh didapati di NAHRIM yang digunakan pada majlis rasmi.

Pegawai Penyelidik Kanan, Unit Sumber Air, Pusat Kajian Sumber Air dan Perubahan Iklim NAHRIM, Marini Mohamad Ideris, berkata produk itu melalui pelbagai kajian dan penyelidik­an serta mendapat lesen daripada Kementeria­n Kesihatan pada 21 September 2018 untuk dikomersia­lkan.

Katanya, idea asal projek terbabit diilhamkan bekas Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir Ahmad Jamalludin Shaaban sejak 2014.

“Proses bermula dengan penuaian air hujan yang dilakukan di dua lokasi membabitka­n kawasan pedalaman dan bandar dengan memilih kawasan hutan simpan di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang dan Seri Kembangan, Selangor untuk proses penuaian air hujan.

“Tujuannya untuk lihat perbezaan kualiti air hujan di kawasan pedalaman dan bandar. Memang terdapat perbezaan (kualiti) pada dua lokasi ini iaitu air hujan di Kuala Tahan lebih baik kualitinya dan semula jadi dengan julat ph 6.0 ke 7.0, berbanding Seri Kembangan yang lebih berasid dengan julat ph antara 4.4 hingga 5.6,” katanya dalam wawancara di NAHRIM, baru-baru ini.

Beliau menjelaska­n, proses perawatan dan pembotolan air hujan perlu melalui beberapa peringkat proses tertentu bagi menjamin kualiti dan piawaian yang ditetapkan. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia