Berita Harian

Hampir 300 juta pelajar tak ke sekolah

-

Rom: Hampir 300 juta pelajar di seluruh dunia sudah berminggu-minggu tidak bersekolah, dengan Itali menjadi negara terbaru menutup sekolah berikutan penularan COVID-19.

Setakat ini, lebih 95,000 orang dijangkiti COVID-19, yang sudah mengorbank­an lebih 3,200 mangsa di seluruh dunia dengan jangkitan merebak ke lebih 80 negara.

Sebahagian besar kes jangkitan dan kematian berlaku di China, di mana virus itu mula muncul akhir tahun lalu, mengakibat­kan beberapa bandar diletakkan di bawah perintah berkurung dengan sekolah, premis perniagaan dan kilang diarah ditutup.

Berikutan penyebaran virus itu, negara lain turut mengambil langkah drastik dengan 13 negara bertindak menutup terus sekolah dan di sembilan negara lagi, sekolah di wilayah tertentu ditutup.

Mengikut statistik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsabang­sa Bersatu (UNESCO), tindakan itu menjejaska­n pembelajar­an 290.5 juta kanak-kanak.

Di Perancis, 120 sekolah ditutup dan Korea Selatan menangguhk­an penggal sekolah sehingga 23 Mac ini manakala di Jepun, hampir semua sekolah ditutup selepas Perdana Menteri, Shinzo Abe, membatalka­n kelas sehingga awal April ini.

Ketua Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF), Kristalina Georgieva, berkata dalam keadaan yang tidak menentu seperti sekarang semua pihak perlu melakukan lebih daripada apa yang mencukupi.

“Wabak ini adalah masalah global yang memerlukan tindak balas global,” katanya.

Itali menyaksika­n COVID-19 terus merebak meskipun pelbagai langkah tegas diambil, termasuk 11 bandar dengan 50,000 penduduk dikuaranti­n.

Di Iran, 92 mangsa maut akibat penyakit itu, manakala sekolah, program kebudayaan utama dan acara sukan digantung sementara.

Arab Saudi menggantun­g ibadah umrah, yang secara tidak langsung membuatkan orang ramai tertanya-tanya bagaimana pula dengan ibadah haji.

Israel pula mengehadka­n pengembara­an antarabang­sa dengan memperketa­tkan syarat kuarantin wajib terhadap pengembara Perancis, Jerman, Sepanyol, Austria dan Switzerlan­d.

Syarat sama sudah pun dikuat kuasa terhadap pengunjung dari Itali dan beberapa negara ASEAN.

Malah, penerbit filem James Bond terpaksa menangguhk­an tayangan filem terbaru mereka, No Time To Die, yang sepatutnya ditayangka­n April ini ke November ini.

 ?? (Foto REUTERS) ?? Pelajar sekolah di Indonesia memakai topeng muka selepas kes pertama COVID-19 disahkan di Jakarta, semalam.
(Foto REUTERS) Pelajar sekolah di Indonesia memakai topeng muka selepas kes pertama COVID-19 disahkan di Jakarta, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia