Berita Harian

Bosan lagu ‘tangkap leleh’

Rai cinta ke jenjang pelamin, Bob tampil dengan single Dan Hari Ini

- Oleh Farihad Shalla Mahmud farihad@bh.com.my

Bukan mudah mahu bertahan dalam dunia seni yang penuh cabaran.

Persaingan dan kemungkina­n menjadi mangsa diskrimina­si menjadi antara perkara yang sering membuatkan artis berputus asa.

Namun, bagi penyanyi bervokal mantap Bob, istilah kecewa dan berhenti berharap tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya.

Jatuh bangun selama 16 tahun mengabdika­n diri dalam dunia seni tidak pernah membuatkan impian Bob untuk berjaya, pudar.

Menurut Bob, insan seni sejati tidak sepatutnya ada rasa kecewa. Rasa cinta terhadap bidang nyanyian mengatasi segala-galanya.

“Tidak dinafikan sepanjang 16 tahun bergelar penyanyi, saya pernah melalui saat getir.

“Saya pernah tidak mendapat undangan menyanyi selama dua bulan. Namun, itu bukanlah halangan untuk saya kecewa atau berhenti berharap daripada memburu impian.

“Saya tidak akan mengalah hanya kerana perkara itu. Apabila kita suka dan cinta dengan apa yang kita lakukan, saya yakin sampai suatu masa, saya akan dapat apa yang saya impikan.

“Saya percaya tahun ini pasti akan membawa tuah dalam kerjaya seni,” katanya ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Dan Hari Ini di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Lagu berentak balada itu adalah hasil ciptaan Sharon Paul dan Hanz Guo Hang dengan lirik nukilan Iman Imran.

Namun begitu, Bob atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop mengakui ada juga perkara yang membuatkan dirinya agak tertekan. Bob terfikir bagaimana mahu bekerja seperti penyanyi muda atau lebih dikenali dengan panggilan BBNU (budak baru nak up).

“Saya pernah bekerja dengan beberapa bakat baharu dan melihat cara mereka bekerja. Timbul rasa kagum dan pada masa sama, rasa rendah diri pula.

“Saya seperti tidak mampu hendak mengikut cara mereka terutama dari segi genre muzik yang sangat baharu. Satu lagi, cara mereka mempromosi produk... Memang tak terkejar,” katanya kepada HIP.

Mengulas penghasila­n lagu Dan Hari Ini, penyanyi berusia 38 tahun ini menjelaska­n, lirik lagu itu lebih ke arah kisah cinta yang positif. Bob sudah bosan dengan lambakan lagu putus cinta.

Malah, Bob turut mengharapk­an single terbabit menjadi pilihan bagi pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga.

“Terlalu sangat dihidangka­n dengan lagu kisah cinta tak kesampaian. Saya mahukan lirik lebih positif.

“Justeru, saya minta penulis lirik, Iman Imran mencipta bait yang mengisahka­n pasangan bercinta yang melangkah ke gerbang perkahwina­n,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia