Berita Harian

Lima lagi individu dilaporkan positif COVID-19

Laporan terbaru jadikan 55 kes keseluruha­n di Malaysia

- Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Lima lagi individu dilaporkan positif COVID-19 iaitu kontak rapat kepada kes ke-26, menjadikan keseluruha­n 55 kes di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini, seramai 26 individu kontak rapat kes ke-26 disahkan positif COVID-19.

“Kes terbaru itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia sehingga 12 tengah hari semalam adalah 55 kes. Daripada jumlah ini, seramai 22 orang sudah sembuh dan dibenarkan pulang. Semua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster COVID-19 yang dikenal pasti sebelum ini iaitu individu dari kes ke-26.

“Siasatan dan pengesanan kontak bagi kluster terbabit masih diteruskan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankua­sa Kerja Kluster Penyakit Coronaviru­s (COVID-19) yang dipengerus­ikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali, di sini semalam.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang dilaporkan positif COVID-19

adalah generasi kedua bagi kes ke-26.

“Dari lima yang dilaporkan, tiga daripadany­a ialah generasi kedua terdiri daripada ahli keluarga dan kakitangan kepada kes generasi pertama.

Generasi pertama ialah individu yang dijangkiti oleh kes ke-26, manakala generasi kedua pula ialah keluarga atau kakitangan bagi generasi pertama yang tidak berhubung terus dengan kes-26 itu,” katanya.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, Malaysia menyekat sementara kemasukan pelawat dari Hokaido di Jepun, Itali (Lombardy,

Veneto dan Emilia-romagna) serta Iran (Tehran, Qom dan Gilan), berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, pelawat yang mempunyai sejarah perjalanan ke bandar dan negara berkenaan dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan di Malaysia tidak dibenarkan memasuki negara ini.

“Mengambil kira status semasa penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang kedua, kerajaan memutuskan supaya rakyat Malaysia menangguhk­an perjalanan ke bandar berkenaan.

“Bagi rakyat Malaysia yang sudah berada di bandar atau wilayah berkenaan, mereka dinasihatk­an mengambil langkah berjaga-jaga seperti meningkatk­an penjagaan kesihatan diri dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarka­n pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia di luar negara turut digalakkan mendaftar dengan Kedutaan Malaysia berhampira­n,” katanya.

Sebelum ini Malaysia menyekat sementara kemasukan semua pelawat dari bandar Daegu dan daerah Cheongdo , Korea Selatan bagi mengekang penularan COVID-19.

Sementara itu, FELCRA Berhad (FELCRA) meneruskan operasi pembersiha­n sanitasi secara menyeluruh membabitka­n enam tingkat di Wisma FELCRA, sehingga hari ini bagi mencegah COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata persekitar­an dan kawasan dalaman premis Wisma FELCRA dibersihka­n mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meningkatk­an keyakinan kakitangan apabila kembali bertugas, Isnin depan.

Katanya, bagi memperkasa­kan lagi usaha pencegahan itu, semua kakitangan di ibu pejabat dan pelawat akan menjalani saringan suhu sebelum dibenarkan memasuki bangunan pejabat Isnin depan.

“Bagi mereka yang merekodkan suhu badan melebihi 38 darjah Celsius tidak akan dibenarkan memasuki pejabat dan akan diaturkan untuk mendapatka­n pemeriksaa­n lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, gerak kerja harian FELCRA berjalan seperti biasa menggunaka­n teknologi komunikasi terkini yang menghubung­kan ibu pejabat, semua pejabat wilayah dan kawasan.

“Di dalam tempoh ini juga, semua peserta, kontraktor dan pembekal boleh berurusan seperti biasa dengan mana-mana bahagian di ibu pejabat menggunaka­n kemudahan komunikasi sedia ada,” katanya.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Pengurusan FELCRA Berhad melaksanak­an operasi pembersiha­n sanitasi secara menyeluruh membabitka­n enam tingkat di Wisma FELCRA bagi menangani penularan jangkitan COVID-19.
(Foto BERNAMA) Pengurusan FELCRA Berhad melaksanak­an operasi pembersiha­n sanitasi secara menyeluruh membabitka­n enam tingkat di Wisma FELCRA bagi menangani penularan jangkitan COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia