Berita Harian

Industri hutang halang selesai masalah ekonomi

-

Baru-baru ini seorang bekas pelajar meminta komen saya mengenai kemelut politik yang baru berakhir dengan pelantikan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sejauh mana ia memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pemulihan pasaran saham dan mata wang.

Ini komen ringkas saya: “Walaupun mungkin akan berlaku pergerakan jangka pendek dalam pasaran saham atau pasaran mata wang asing (yakni sama ada kejatuhan atau kenaikan nilai), dalam jangka panjang persekitar­an ekonomi Malaysia akan sentiasa bermasalah kerana sektor perbankan semakin berkembang dan ahli masyarakat serta organisasi sentiasa menambah hutang mereka.”

Apa saya maksudkan ialah punca utama masalah ekonomi kita ialah sistem yang tidak betul kerana bersandark­an industri hutang. Oleh itu, walaupun kerajaan silih berganti, masalah ekonomi tetap tidak dapat diselesaik­an.

Dahulu kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah selama puluhan tahun diganti Pakatan Harapan (PH). Ramai menyangka disebabkan kerajaan yang didakwa mempunyai reputasi dipimpin ahli politik korup sudah digantikan dengan pemimpin lebih bersih, maka masalah kos sara hidup akan selesai. Namun, kita semua tahu masalah harga rumah dan barangan lain tinggi masih tidak dapat diselesaik­an. Begitu juga upah atau gaji pekerja masih tidak mencukupi.

Sekarang kita akan masuk ke era kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun, oleh kerana sistem ekonomi dan kewangan kita masih tidak berubah serta masih bergantung kepada industri hutang, apa yang pasti masalah ekonomi juga tetap tidak dapat diselesaik­an.

Apabila industri hutang berkembang, maka jumlah hutang oleh isi rumah, kerajaan dan organisasi perniagaan juga akan bertambah. Sekarang, jumlah hutang lebih daripada RM3 trilion. Ini beban besar yang ditanggung oleh mereka.

Kerajaan yang menanggung hutang lebih RM1 trilion (yakni termasuk jaminan kerajaan kepada hutang syarikat berkaitan kerajaan) akan keberatan untuk menaikkan gaji atau upah dan mengambil kakitangan baharu, sekali gus mengurangk­an peluang pekerjaan kepada graduan yang baru keluar dari universiti.

Begitu keadaan dihadapi organisasi swasta. Mereka menanggung beban hutang tinggi, di samping menghadapi persaingan sengit. Oleh itu, mereka juga keberatan menaikkan gaji dan upah serta mengambil pekerja baharu. Bahkan banyak organisasi mengambil buruh asing untuk menjimatka­n kos walaupun ramai rakyat kita masih menganggur.

Pada masa sama, isi rumah yang mengambil pinjaman perumahan, kereta dan lain-lain menghadapi beban untuk membayar hutang berkenaan yang secara keseluruha­n sekarang berjumlah lebih dari RM1.03 trilion.

Maka tidak menghairan­kan sekiranya sesebuah isi rumah dalam kategori M40 menghadapi situasi berhutang lebih RM500,000 jika membeli rumah dan kereta dengan berhutang.

Apa yang ramai dalam kalangan ahli masyarakat tidak sedar adalah jika hutang ini diperoleh daripada sistem perbankan, maka setiap kali urus niaga hutang berlaku, mata wang baharu akan diciptakan. Dalam keadaan hutang sentiasa meningkat mata wang baharu bernilai hampir RM10 bilion dicipta setiap bulan.

Apabila mata wang baharu ini dicipta dengan sangat cepat, yakni lebih cepat berbanding kadar penambahan pengeluara­n barangan dan perkhidmat­an, maka nilai mata wang berkenaan akan menurun, yakni inflasi akan berlaku.

Oleh kerana itu jika sesebuah keluarga di bandar raya Kuala Lumpur memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan secara total, keluarga berkenaan masih menghadapi suasana kehidupan sulit.

Apa tidaknya, sewa apartmen murah dua bilik di Petaling Jaya tidak kurang RM1,000 sebulan. Ini bermakna separuh daripada pendapatan sudah pun habis. Hanya tinggal RM1,000 untuk membayar kos pengangkut­an, makanan, yuran persekolah­an anak, buku dan pakaian dan keperluan hidup lain. Sudah tentu RM1,000 adalah tidak mencukupi.

Sebagai rumusan, jika kita ingin melihat suasana ekonomi bertambah baik, kita perlu mengubah sistem ekonomi dan kewangan supaya ia tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada industri hutang.

Nilai masyarakat kita juga perlu berubah, yakni berhenti daripada berbelanja di luar kemampuan dengan menggunaka­n duit yang dihutang daripada industri perbankan atau industri hutang.

Kita perlu sedar bahawa jika kita perlu berhutang untuk membeli sesuatu, ia bermakna barangan berkenaan adalah di luar kemampuan kita.

Sesungguhn­ya suasana ekonomi masyarakat kita hanya akan berubah apabila sistem kita tidak lagi bersandark­an industri hutang. Ia tidak akan berubah hanya dengan perubahan Perdana Menteri atau kerajaan semata-mata.

Apabila industri hutang berkembang, maka jumlah hutang oleh isi rumah, kerajaan dan organisasi perniagaan juga akan bertambah.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia