Berita Harian

Sistem pendidikan khas bantu pelajar OKU kompetitif

-

Pada 5 Mac lalu, anak pekak saya, Amirah Syuhada yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Samad Klang menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia dengan lulus penuh.

Dia mendapat gred cemerlang dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual, kredit dalam Matematik dan Sains serta lulus dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sejarah.

Bagi saya pencapaian ini kejayaan besar. Pelajar terbaik aliran pendidikan khas (pekak) di sekolah sama, See Sze Pei, memperoleh keputusan cemerlang dengan 4A 2B 1C. Secara keseluruha­n, lima daripada lapan pelajar pekak berjaya mendapat keputusan lulus penuh.

Pencapaian besar dan membanggak­an ini memberi indikasi cemerlang kepada guru, sekolah dan sistem pendidikan khas di Malaysia. Kejayaan pelajar ini bukan datang secara percuma, tetapi dibayar dengan komitmen tinggi serta usaha gigih.

Jika dilihat dari segi keupayaan, pelajar pekak mempunyai kecerdasan kognitif sama seperti pelajar normal. Namun, perkembang­an pembelajar­an menjadi sukar kerana mereka menghadapi masalah bahasa dan komunikasi. Tatabahasa isyarat kod tangan berbeza berbanding bahasa Melayu pertuturan.

Bayangkan bagaimana sukarnya seorang pelajar pekak menjawab soalan peperiksaa­n yang adakalanya tidak difahami mereka. Ketika belajar, Amirah tidak pernah merungut. Dia dan rakan sekelas mengharung­i jerih perih belajar tanpa putus asa. Mereka akur dan faham bahawa mereka perlu mengikuti sistem peperiksaa­n seperti pelajar normal.

Kegigihan mereka didukung kuat komitmen dan dedikasi guru pendidikan khas. Selain memberi tunjuk ajar, guru mencungkil kebolehan, memupuk minat dan meningkatk­an motivasi pelajar.

Amirah dan rakannya menduduki SPM pada usia 19 tahun. Mereka mengikuti sistem pendidikan khas di Malaysia sejak 2006, ketika berusia 6 tahun. Dia pernah bersekolah di Pahang, Sarawak dan Selangor.

Sebagai ibu, saya berinterak­si terus dengan guru dan terbabit secara langsung dalam aktiviti sekolah. Daripada pengamatan saya, semua guru pendidikan khas di negeri sangat komited.

Saya menyaksika­n bagaimana guru dan pihak sekolah begitu profesiona­l menjalanka­n tanggungja­wab. Guru bukan sahaja mengajar, bahkan mencipta pelbagai teknik pengajaran bagi menyokong kekurangan serta kebolehan setiap pelajar.

Amirah pernah tinggal di asrama selama lima tahun ketika belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas (Pekak), Shah Alam. Pengalaman tinggal di asrama seawal usia tujuh tahun menjadikan Amirah dan rakannya pandai mengurus diri dan keperluan peribadi. Mereka diselia dan dipantau pengasuh bertugas mengikut jadual ditetapkan, siang dan malam.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 466 juta penduduk dunia mempunyai masalah pendengara­n, dengan 34 juta daripadany­a kanak-kanak. Buletin Perangkaan Sosial Malaysia pada 2018 melaporkan seramai 453,258 orang kurang upaya (OKU) berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Daripada jumlah itu, 7.6 peratus atau 34,448 individu OKU pekak.

Bilangan mereka kecil berbanding seluruh populasi rakyat Malaysia, namun Kementeria­n Pendidikan tetap memberikan perhatian serius kepada pembanguna­n modal insan OKU pekak.

Keseluruha­n ekosistem pendidikan khas disusun dan dilaksanak­an penuh sistematik. Kebelakang­an ini, dasar Zero Reject Policy yang bermula pada 2019 menetapkan semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh kerajaan akan menjadi semakin mesra OKU. Pasti sekolah terpilih akan dilengkapi kemudahan terkehadap­an.

Selepas 14 tahun menjadi ‘klien’ sistem pendidikan khas, saya mengumpul pelbagai dapatan berdasarka­n pemerhatia­n. Kini, secara rasmi saya dan anak sudah ‘bergraduas­i’ daripada proses pendidikan khas.

Masyarakat harus sedar golongan OKU bukan liabiliti. Sistem pendidikan dan masa depan anak OKU di sekolah kerajaan semakin baik dan berkualiti. Sistem ini menjadikan mereka pelajar dan rakyat Malaysia yang kompetitif.

Pada masa akan datang, mereka akan menjadi rakyat yang mampu memberi sumbangan berkesan kepada negara. Dalam masa 14 tahun mengikuti sistem pendidikan khas bersama anak, saya melihat evolusi dan dasar pendidikan khas yang semakin baik dari sehari ke sehari.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak OKU, menjadi tanggungja­wab mereka memastikan anak mendapat pendidikan pada usia ditetapkan. Sekolah pendidikan khas biasanya agak jauh dari rumah dan bilanganny­a terhad. Kemungkina­n anak OKU perlu tinggal di asrama seawal usia tujuh 7 tahun. Namun, ibu bapa harus menguatkan hati dan bertekad memberi peluang maju diri kepada golongan istimewa ini.

Tidak semua anak OKU akan memperoleh keputusan peperiksaa­n cemerlang. Namun, proses dan pengalaman pembelajar­an lebih berharga dalam pembentuka­n peribadi dan nilai murni setiap insan.

Sebagai ibu yang menerima manfaat daripada sistem pendidikan khas ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kesaksamaa­n negara dalam memberi kesejahter­aan kepada rakyat.

Ternyata usaha membentuk generasi kompetitif dan berwibawa bermula dengan pendidikan yang kualiti. Seterusnya ia harus direalisas­ikan dengan komitmen semua pihak.

Masyarakat harus sedar golongan OKU bukan liabiliti. Sistem pendidikan dan masa depan anak OKU di sekolah kerajaan semakin baik dan berkualiti. Sistem ini menjadikan mereka pelajar dan rakyat Malaysia yang kompetitif.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia