Berita Harian

Kabinet mula kerja

Kurang 24 jam selepas majlis mengangkat sumpah jawatan, Kabinet dalam mesyuarat pertama semalam membuat beberapa keputusan penting bagi menangani isu dan masalah yang mendepani negara:

- Oleh Wartawan BH bhnews@bh.com.my

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi tangani cabaran keadaan ekonomi semasa Kementeria­n Kewangan diarah kaji, bentang semula Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 Penubuhan sekretaria­t bersama selesai masalah kos sara hidup kumpulan B40 Semua kementeria­n diarah kemuka cadangan ‘tawaran baharu untuk rakyat Malaysia’ Pelancaran tabung khas COVID-19 sebagai bantuan kepada individu terjejas

Kuala Lumpur: Tanpa menunggu lama, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menghantar isyarat ‘masa untuk memulakan kerja’ kepada pasukan Kabinetnya dengan menggarisk­an beberapa visi utama untuk dicapai.

Muhyiddin hampir seharian bermesyuar­at bersama 31 menteri dan 37 timbalanny­a di pusat pentadbira­n Putrajaya, kurang 24 jam selepas Jemaah Menterinya mengangkat sumpah jawatan, kelmarin.

Bermula jam 9.25 pagi, Perdana Menteri ke-8 itu mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet sulungnya di Perdana Putra, disusuli sidang media sebelum diikuti mesyuarat bersama timbalan menterinya pada jam 2.45 petang.

Pada sidang media sulungnya yang ditunggu-tunggu wartawan tempatan dan asing, Muhyiddin tampil menggarisk­an beberapa keputusan penting kerajaan dalam mesyuarat Kabinet di tengah-tengah kemelut yang masih mendepani negara, antaranya kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40, langkah menangani penyebaran COVID-19 dan krisis harga minyak dunia.

Beliau mengumumka­n penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah segera mendepani cabaran ekonomi semasa.

Kementeria­n Kewangan juga dipertangg­ungjawabka­n bagi meneliti semula pakej rangsangan ekonomi untuk dibentang semula dalam tempoh seminggu dua yang akan datang.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri interim ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah melancarka­n Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion.

EAC yang dipengerus­ikan sendiri Perdana Menteri akan bersidang setiap Isnin dengan mesyuarat pertamanya pada 16 Mac ini. Beberapa tokoh berwibawa akan dibawa menganggot­ai EAC, termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, selain beberapa menteri berkaitan.

“Semua jemaah menteri sedar, terutama dalam situasi ekonomi meruncing dengan harga minyak yang turun ke paras AS$30 satu tong, penurunan 31 peratus sudah tentunya akan memberi kesan kepada sumber dana kerajaan.

“Ini dibeban lagi dengan COVID-19 yang berlarutan selama beberapa minggu dan memberi impak amat besar kepada ekonomi negara,” tegas Perdana Menteri.

Untuk itu, Muhyiddin berkata, kerajaan baharu pimpinanny­a akan membuat ‘tawaran baharu’ yang lebih bermanfaat kepada rakyat, selain kumpulan tertentu termasuk pelabur, melalui cadangan dikemukaka­n kementeria­n dan jabatan.

Langkah diumumkan Perdana Menteri itu selari perkembang­an semasa yang menyaksika­n kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk menerusi keadaan luar biasa tanpa manifesto khusus.

“Rakyat dan pelabur asing ingin tahu apakah sebenarnya dasar Kerajaan PN yang kita bentuk ini. Disebabkan kita tiada manifesto, maka kita putuskan setiap kementeria­n dan jabatan memberi cadangan perkara apakah yang akan menjadi keutamaan.

“Pastinya ia boleh dilakukan dan memberi manfaat dan faedah segera kepada kumpulan tertentu. Apabila perkara ini disiapkan, kita akan maklumkan kepada rakyat apa yang terkandung di dalam Kerajaan PN,” katanya.

Muhyiddin turut ditanya sama ada kerajaan akan menyemak semula Belanjawan 2020 berikutan trend penurunan harga minyak mentah global.

“Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) diarah menelitiny­a dalam mesyuarat EAC minggu depan, untuk melihat apakah situasi kewangan negara yang pastinya sudah dan makin terjejas.

“Oleh itu, sama ada pengubahsu­aian belanjawan itu perlu atau tidak, saya akan tunggu laporan Menteri Kewangan,” katanya.

Mengulangi jaminan Kabinet yang dibentuk menerusi PN adalah ‘yang berfungsi dan berkhidmat’ untuk semua rakyat, Muhyiddin menegaskan, bagi memastikan mereka bekerja berlandask­an integriti tinggi, semua jemaah menteri dikehendak­i mengisytih­arkan harta kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh sebulan.

Menyedari kerugian tahunan sektor pelanconga­n akibat COVID-19 boleh mencecah RM51 bilion, Muhyiddin mengarahka­n Kementeria­n Pelanconga­n, Kesenian dan Kebudayaan merangka pelan memacu semula industri itu dan perancanga­nnya dibentangk­an kepada Kabinet dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan beliau memotong gajinya antara lima hingga 10 peratus bagi mengurangk­an beban kewangan kerajaan.

Pada sidang media itu, Muhyiddin turut menjelaska­n hierarki kepemimpin­an kerajaanny­a selepas tidak menamakan Timbalan Perdana Menteri dan melantik empat menteri kanan.

Katanya, kedudukan semua empat menteri kanan adalah setaraf, namun Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet semasa ketiadaann­ya di dalam negara.

“Jika saya tiada, Azmin akan mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet. Jika Azmin tiada, Ismail Sabri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempengeru­sikannya,” katanya.

Komitmen ditunjukka­n kerajaan baharu jelas menarik perhatian pemerhati politik dan penganalis­is ekonomi yang menyifatka­n sebagai hala tuju jelas terhadap pengukuhan ekonomi negara.

Pengurus Pembanguna­n Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penubuhan EAC bagi merangka pelan mendepani cabaran ekonomi negara susulan penularan COVID-19 adalah tindakan bijak dan mempunyai kewajaran tersendiri.

“Ketika krisis kewangan Asia pada 1997, kita menggunaka­n mekanisme sama dan ia terbukti berkesan,” katanya sambil mengesyork­an ia perlu dilaksanak­an secepat mungkin.

Berhubung semakan semula pakej rangsangan ekonomi susulan COVID-19, Ahmed Razman berpendapa­t isu utama ialah bagaimana kerajaan hendak mencari dana akibat kejatuhan harga minyak sehingga menjejaska­n potensi pendapatan negara.

Selain itu, katanya, fokus pakej ini juga harus diperkukuh­kan dalam memastikan rakyat tidak hilang pekerjaan dan mengelak ada syarikat gulung tikar.

“Wang ihsan RM1 juta diumum Perdana Menteri juga adalah langkah awal kerajaan kerana Singapura turut melakukan inisiatif sama dan rakyat yang terjejas memang amat memerlukan­nya.

“Saya bersetuju setiap kementeria­n harus mengemukak­an pelan pembanguna­n untuk pemegang taruh masing-masing,” katanya.

Ketua Unit Penyelidik­an Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin turut sependapat bahawa perkara terpenting ketika ini adalah pakej rangsangan ekonomi yang efektif.

Ketika ini hampir semua negara bukan sahaja berdepan dengan krisis ekonomi disebabkan penularan COVID-19, malah turut diburukkan lagi dengan kejatuhan harga minyak mentah akibat perang harga negara pengeluar minyak dunia, Arab Saudi dan Russia.

“Pakej rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan lalu perlu diteruskan, ditambah dan diubahsuai dengan mengambil kira kesan gelombang kedua COVID-19 kepada ekonomi Malaysia serta kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia.

“Jumlah pakej rangsangan yang diubahsuai boleh dilipat gandakan pada kadar RM15 hingga RM20 bilion.

“Pengumuman Perdana Menteri sudah semestinya wajar dan tepat pada masanya, jika kita melihat konteks ekonomi semasa negara dan meletakkan kemelut politik di sisi lain buat seketika,” katanya.

Beliau turut bersetuju tumpuan diberi terhadap golongan B40 dengan digariskan strategi yang berbentuk secara langsung dan bukannya secara tidak langsung.

Dalam konteks himpitan ekonomi semasa ketika Malaysia berada pada ambang kemeleseta­n ekonomi dengan prospek pertumbuha­n dan hasil yang agak merudum, beliau yakin pelaksanaa­n semula Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) juga satu tindakan bijak kerajaan.

“Rakyat sudah pun sedar bahawa GST bukanlah punca utama terhadap peningkata­n kos sara hidup dialami ketika ini,” katanya.

Bagi penganalis­is politik dan geostrateg­is, Azmi Hassan, langkah tuntas kerajaan menubuhkan jawatankua­sa khas (EAC) untuk mengharung­i kemelut ekonomi adalah langkah tepat supaya setiap isu yang membelengg­u pertumbuha­n negara berupaya ditangani secara menyeluruh.

“Manifesto tidak begitu kritikal ketika ini kerana ungkapan itu mempunyai konotasi yang agak negatif, malah dipandang sebagai ‘gula-gula’ menerusi kaca mata rakyat, sebaliknya visi kerajaan adalah lebih penting untuk memakmurka­n rakyat dan negara.

“Agenda dan strategi kementeria­n mesti berpanduka­n visi membantu rakyat. Tidak keterlalua­n jika masih memerlukan manifesto sebagai panduan, tetapi dokumen digunakan Barisan Nasional (BN) sebelum ini boleh diambil kerana ia dianggap strategi yang mampu dilaksanak­an.

“Namun hakikatnya, rakyat tidak teruja lagi dengan janji manifesto, tetapi lebih utamakan apakah langkah kerajaan dan kandungann­ya untuk membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Malaysia berdepan risiko kerana masih meletakkan kebergantu­ngan terhadap hasil minyak pada kadar 33 peratus, sekali gus terdedah kepada impak kejatuhan harga sumber asli itu di pasaran dunia ketika ini,” katanya.

 ??  ??
 ?? (Foto BERNAMA) ?? Muhyiddin mempengeru­sikan mesyuarat bersama 37 timbalan menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
(Foto BERNAMA) Muhyiddin mempengeru­sikan mesyuarat bersama 37 timbalan menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia