Berita Harian

PM sedia potong gaji lima hingga 10 peratus

-

Putrajaya: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersedia memotong gajinya antara lima hingga 10 peratus bagi mengurangk­an beban kewangan kerajaan.

Katanya, langkah itu akan dapat menjimatka­n beberapa juta ringgit dan beliau percaya, rata-rata menteri yang dilantikny­a juga bersedia untuk melakukan apa sahaja demi menabur khidmat kepada negara.

“Saya bersedia untuk mengambil cabaran itu. Saya mahu gaji saya dipotong, mungkin lima atau 10 peratus,” kata Perdana Menteri pada sidang media ketika ditanya sama ada kerajaan mempertimb­angkan langkah pemotongan gaji menteri berikutan Kabinet kali ini lebih besar berbanding sebelumnya.

Muhyiddin memaklumka­n, cadangan itu bagaimanap­un tidak dibincangk­an dalam mesyuarat Kabinet semalam, sekali gus meminta supaya tiada pihak membuat kesimpulan awal melangkaui perbincang­an.

“Kami tidak membincang­kan perkara itu hari ini (semalam), jadi jangan melangkaui perbincang­an. Apa yang saya boleh katakan, kami bersedia menyumbang apa yang kami mampu. Mungkin dengan cara itu, kita boleh berjimat,” katanya.

Mengenai saiz Kabinet lebih besar, Muhyiddin menegaskan, ia satu keperluan mengikut situasi melanda negara ketika ini, termasuk mewujudkan kementeria­n baharu.

“Contohnya, Kementeria­n Perpaduan. Kita sudah ada Jabatan Perpaduan sebelum ini, jadi sudah ada bajet di bawah jabatan itu, tetapi jika ada keperluan seperti perlukan kakitangan tambahan atau sebagainya yang memerlukan tambahan bajet, Ketua Setiausaha Negara akan buat pertimbang­an.

“Kita tahu kerajaan perlu berbelanja secara berhemah, tetapi dengan situasi dihadapi sekarang, contohnya hubungan antara kaum dan sebagainya, maka penting untuk kita bersatu semula. Jadi, walau apa pun kos perlu dibayar, kerajaan akan lakukan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, semua anggota Kabinet dikehendak­i mengisytih­arkan harta dan mereka diberi tempoh sebulan melakukann­ya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri diingatkan mengenai komitmen menentang dan membantera­s rasuah pada mesyuarat Kabinet sulung, semalam.

“Saya beritahu semua Jemaah Menteri supaya isytihar harta dan kita minta dalam tempoh sebulan kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia seperti dibuat hari ini (semalam),” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri yang menegaskan kerajaan tidak melihat keperluan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut, meminta rakyat memberi peluang kepada pentadbira­n baharu untuk membuktika­n prestasi dan khidmat terbaik sebelum penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berakhir, kurang tiga tahun lagi.

“Ini hari pertama (Kabinet kerajan baharu), beri kami peluang, masih jauh perjalanan, tapi sudah pasti ia penting, kita perlu tahu apa yang perlu dilakukan. Diharapkan jika kita beri prestasi baik, rakyat melihat kerajaan ini sangat membantu, maka kita akan dapat mandat pada PRU-15,” katanya.

Apa yang saya boleh katakan, kami bersedia menyumbang apa yang kami mampu. Mungkin dengan cara itu, kita boleh berjimat.

Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia