Berita Harian

Muhyiddin terima penolakan King Sing, cari calon lain

-

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Tiong King Sing, bagi membincang­kan hasrat Ahli Parlimen Bintulu untuk terus berkhidmat kepada negara dalam kapasiti lain.

Ia susulan penolakan King Sing terhadap jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara dalam pentadbira­n baharu yang diumumkan Isnin lalu.

Justeru, Muhyiddin berkata, kerajaan perlu mencari calon lain bagi menggantik­an tempat King Sing itu.

Katanya, walaupun Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah berkenan dengan pelantikan itu, beliau mengambil pendekatan terbuka dan menerima penolakan jawatan King Sing.

“Beliau sudah kemukakan pendirian bahawa tidak mahu ambil jawatan itu, tidak mengapa. Itu pilihannya, walaupun Agong sudah memberi perkenan, tetapi jika beliau (King Sing) rasa kedudukan berkenaan tidak sesuai, tidak mengapa.

“Kita akan terima (penolakan jawatan itu), sudah pasti saya perlu cari orang lain untuk dicalonkan mengisi jawatan Timbalan Menteri Perpaduan Negara. Pada masa sama, King Sing menyatakan hasrat untuk terus berkhidmat kepada negara tetapi menerusi kapasiti lain.

“Saya akan mengadakan perjumpaan dengannya esok,” katanya pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat Kabinet pertama, semalam.

King Sing sebelum ini dilantik sebagai Wakil Khas Perdana Menteri ke Asia Timur ketika pentadbira­n Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahka­n parti itu sudah meluluskan permohonan 10 bekas Ahli Parlimen PKR, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai parti itu.

“Ya, mereka sudah menyertai BERSATU. Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sudah mengesahka­n permohonan mereka,” katanya.

Selain Mohamed Azmin, turut menyertai BERSATU ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia