Berita Harian

5,000 peserta himpunan tabligh dicari

Seorang rakyat Brunei disah positif virus pernah ke Malaysia sertai majlis

- Oleh Noor Atiqah Sulaiman bhnews@bh.com.my

Putrajaya: Semua jabatan kesihatan negeri giat mengesan lebih 5,000 peserta Malaysia yang menyertai perhimpuna­n tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata siasatan itu dijalankan susulan laporan Internatio­nal Health Regulation­s - Focal Point Brunei dengan kes disahkan positif COVID-19 di negara berkenaan, mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia.

“Kes berkenaan dilaporkan mempunyai sejarah menghadiri perhimpuna­n tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020.

“Berdasarka­n maklumat awal, perhimpuna­n tabligh ini membabitka­n 10,000 orang dari beberapa negara, termasuk Malaysia.

“Peserta dari Malaysia dianggarka­n melebihi 5,000 orang. Semua jabatan kesihatan negeri menjalanka­n siasatan lanjut mengenai perkara ini di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini, Kementeria­n Kesihatan Brunei mengesahka­n kes pertama positif COVID-19 di negara berkenaan dijangkiti ketika hadir ke satu majlis keagamaan di Malaysia.

Individu terbabit pulang ke Brunei

dengan rakannya pada 3 Mac lalu melalui Miri, Sarawak sebelum mengalami simptom jangkitan dan membuat pemeriksaa­n di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha pada 8 Mac lalu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga tengah hari semalam, ada 20 kes baharu dikesan positif COVID-19.

Katanya, penambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif 149 kes.

Dr Noor Hisham berkata, kes ke-78 yang sebelum ini dilaporkan positif kini dibenarkan pulang.

“Ini menjadikan 26 kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang. Bagi kes baharu dikenal pasti, kementeria­n mengenal pasti kontak rapat dan aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini dapat dikenal pasti.

“Daripada jumlah itu, dua kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan alat pernafasan, tetapi stabil dan masing-masing dirawat di Hospital Sungai Buloh dan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Kementeria­n menjalanka­n survelan COVID-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respirator­y infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia