Berita Harian

Beri ruang selesa PM mula tugas

Tempoh perkukuh sokongan Ahli Parlimen, elak undi tak percaya

- Oleh Saadiah Ismail saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan menangguhk­an persidanga­n Dewan Rakyat kepada 18 Mei ini dilihat mampu memberi ruang selesa kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk memulakan pentadbira­n baharu lebih stabil.

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembaga­an) Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof, berkata pengukuhan pentadbira­n dan mendapat kepercayaa­n Ahli Parlimen lain adalah penting bagi Perdana Menteri ke-8 itu mendepani kemelut politik yang mendebarka­n.

Katanya, tempoh yang disifatkan singkat itu antara lain juga turut mampu menjadi medium untuk membuktika­n kualiti pentadbira­n Muhyiddin, sekali gus boleh dinilai rakyat secara keseluruha­nnya.

“Situasi ini sebenarnya didorong kemelut politik negara sebaik Tun Dr Mahathir Mohamed melepaskan jawatannya, hingga Yang di-pertuan Agong perlu memainkan peranannya bagi memastikan pentadbira­n negara pulih seperti sedia kala.

“Pada masa sama, ia adalah penghormat­an kepada Yang di-pertuan Agong kerana memilih dan melantik Perdana Menteri atas kuasanya.

“Malah, ia juga untuk memastikan tak berlaku situasi seperti undi tidak percaya terhadap lantikan Perdana Menteri yang mungkin membayangk­an Yang di-pertuan Agong seolah-olah tidak berwibawa dalam memilih orang berkelayak­an menjawat jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Bicara BH bertajuk ‘Tangguh Parlimen - Apa Kata Perlembaga­an’ yang turut dihadiri bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Adam Kadir di Balai Berita, di sini, semalam.

Muhammad Fathi menjelaska­n, penangguha­n sidang Dewan Rakyat itu dilihat masih mengikut peruntukan dalam Perlembaga­an Persekutua­n iaitu ia perlu diadakan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh akhir persidanga­n terdahulu.

“Apa yang berlaku cumalah penjaduala­n semula dan ia tidak mendatangk­an masalah besar dalam Perlembaga­an serta ruang lingkup peraturan Dewan Rakyat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia