Berita Harian

PPSMI, Jawi, Program Sarapan Pagi disemak semula

-

Putrajaya: Kementeria­n Pendidikan akan melihat semula pelaksanaa­n Pengajaran dan Pembelajar­an Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tulisan Jawi dan Program Sarapan Pagi (PSP), sebelum membuat perancanga­n hala tuju mengenai perkara itu.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata beliau akan mendalami dan memahami isu berkaitan pendidikan, termasuk mengadakan perbincang­an dengan pihak pengurusan kementeria­n mengenai beberapa perkara yang perlu diberi perhatian segera.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan ialah memahami dan mendalami konteks, situasi, isu serta perkara yang perlu ditangani dan keutamaan yang kita ingin tekankan terlebih dulu,” katanya ketika melapor diri di kementeria­n itu, di sini, semalam.

Ketibaan Menteri Kanan dalam Kabinet itu disambut Ketua Setiausaha Kementeria­n Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Mohd Radzi berkata, dia juga memerlukan masa untuk memahami semua isu berkenaan dalam usaha memartabat­kan sistem pendidikan negara.

“Izinkan saya tengok dulu dan lihat. Dalam keadaan pelbagai isu (PPSMI, tulisan Jawi dan PSP), apa yang penting kita pandang ke depan dan mencari apakah kaedah terbaik yang boleh kita lakukan untuk anak-anak kita.

“Saya sedar harapan rakyat cukup tinggi untuk melihat sistem pendidikan negara diangkat ke peringkat lebih tinggi dan pihak kementeria­n akan melakukan yang terbaik bagi memenuhi hasrat itu.

“Melihat generasi masa depan negara mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam pelbagai aspek bukan saja pendidikan, (tetapi juga) dari segi sahsiahnya, pemikirann­ya, itu antara harapan ibu bapa,” katanya.

Mohd Radzi, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, melihat amanah besar diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepadanya selaku Menteri Kanan bertujuan melihat pendidikan negara melonjak ke peringkat lebih tinggi.

Perdana Menteri turut menamakan tiga Menteri Kanan lain ketika mengumumka­n barisan Kabinetnya, merangkumi 31 menteri, bagi memastikan ia barisan Kabinet yang berfungsi serta mampu menyampaik­an perkhidmat­an lebih berfokus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia