Berita Harian

3 empangan hanya mampu bertahan hingga akhir bulan ini

-

Alor Gajah: Air di Empangan Durian Tunggal, di sini dan Empangan Jus serta Empangan Asahan di Jasin hanya mampu bertahan hingga hujung bulan ini jika tiada hujan mulai sekarang.

Menjelaska­nnya, Ketua Menteri baharu, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata paras air semasa Empangan Durian Tunggal hanya 4,970 juta liter atau kira-kira 16.1 peratus, manakala Empangan Jus 10, 475 juta liter (24.2 peratus) dan Empangan Asahan 480 juta liter (88.9 peratus).

Beliau berkata, berdasarka­n bacaan berkenaan, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meneruskan catuan air yang berlangsun­g di seluruh negeri sejak 29 Januari lalu.

Katanya, bagi memastikan Melaka memperoleh sumber bekalan air mentah yang mampu memenuhi keperluan pengguna sekurang kurangnya hingga Monsun Timur Laut dijangka berakhir hujung bulan ini, kerajaan negeri meminta bantuan Kerajaan Johor untuk membenarka­n Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mengepam tambahan 220 juta liter air sehari dari Sungai Gersik di Muar terus ke Empangan Durian Tunggal.

“Sekarang kita mengepam 220 juta liter air sehari dari Sungai Gersik dan kita minta tambahan 220 juta liter air lagi untuk memastikan kita mampu membekalka­n air untuk pengguna.

“Ia membabitka­n perbelanja­an RM250 juta yang kita mohon daripada Kementeria­n Kewangan dan insya-allah ia mendapat kelulusan kerana isu ini sudah mencapai tahap agak serius,” katanya pada sidang media ketika melawat Empangan Durian Tunggal, semalam.

Terdahulu beliau yang ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Pengarah Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Melaka, Faezah Abdul Rahman melawat Empangan Jus dan Empangan Machap.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani isu berkenaan dengan beliau sendiri menjadi pengerusi, manakala anggota panel ialah Hasim, Faezah dan ketua pelbagai jabatan lain yang ada kaitan dengan pembekalan air.

Beliau berkata, umat Islam di negeri ini diminta menunaikan solat sunat istisqa dan hajat memohon Allah menurunkan hujan kerana ia adalah tanggungja­wab semua orang Islam atau fardu kifayah yang harus dibuat secara kolektif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia