Berita Harian

Makna kebebasan seorang mahasiswa

- Zanariah Abdul Rahman Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UITM Kampus Segamat

Semester baharu di universiti, baru sahaja bermula. Tahniah kepada pelajar baharu dan selamat kembali kepada pelajar lama.

Universiti adalah lambang kedewasaan, kematangan dan kebebasan kepada mahasiswa. Mereka bebas membuat keputusan sendiri, bebas untuk tidak memakai uniform lagi dan bebas dengan erti kata lain, bukan dilabel budak sekolah.

Mendapat tempat ke universiti bukanlah tiket kebebasan secara total. Di sinilah anda perlu membentuk ketahanan fizikal, mental, rohani dan agama, sesuai untuk kelangsung­an tanah air ini.

Perkara baharu memang mengujakan, kadang kala menakutkan. Kita selalu takut dengan hal yang belum diterokai. Tetapi, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pemikiran mahasiswa haruslah berubah dan ke hadapan.

Sebagai seorang mahasiswa, tanggungja­wab anda mempersiap­kan diri dengan pelbagai kemahiran. Di sinilah keyakinan diri boleh dibentuk, pengalaman baharu bakal dicipta, serta ilmu baharu boleh diterokai. Di sinilah anda mempersiap­kan diri untuk masa hadapan terutamany­a selepas bergelar graduan. Biar bila mengais, hendaklah berkuku.

Mahasiswa cemerlang mempunyai nilai tambah dalam pelbagai bidang dan memberi kelebihan kepada diri sendiri. Libatkanla­h diri dengan aktiviti ko-kurikulum, sukan, kelab dan persatuan. Persaingan masa kini bukan hanya terletak berapa banyak CGPA yang anda peroleh, tetapi kemahiran apa anda miliki.

Kemahiran komunikasi, kepimpinan, kemahiran insaniah atau ‘soft-skills’ dan khidmat masyarakat antara yang sama penting dengan kemahiran teknikal seperti komputer dan sebagainya.

Oleh itu, mahasiswa harus berhati-hati membuat perancanga­n supaya mampu bergraduas­i dengan cemerlang.

Pertama, pembahagia­n masa yang bijak. Mahasiswa bukan lagi menghadiri kelas pagi dan pulang tengah hari seperti di sekolah, tetapi masa pembelajar­an yang fleksibel dan berfokus memberikan anda banyak waktu terluang. Waktu terluang, jangan dibuang. Masa itu emas dan mahasiswa perlu bijak menguruska­n masa sendiri. Disiplin adalah kunci utama.

Kedua, cara pembelajar­an yang berbeza daripada sekolah. Jika dahulu mahasiswa dipimpin tangan oleh cikgu sepanjang masa pembelajar­an, tetapi tidak di universiti. Pensyarah hanya bertindak sebagai penyampai dan fasilitato­r di dalam kelas.

Mahasiswa perlu cepat menyesuaik­an diri mengambil nota, rajin membaca, membuat semakan dan latihan setiap masa. Buku adalah teman hidup anda. Rajin-rajinlah bertanya jika tidak faham sesuatu pelajaran. Mahasiswa yang cemerlang dan ingin maju akan berani bertanya kerana malu bertanya sesat jalan, segan berdayung, perahu hanyut.

Ketiga, memilih rakan juga penting dalam mengharung­i kehidupan di universiti. Di sini anda akan bertemu pelbagai rakan daripada pelbagai latar belakang dan budaya. Di sini juga anda akan belajar bersosial dan mengembang­kan pemikiran ideal.

Hakikatnya, pengaruh rakan seringkali mempengaru­hi keputusan pelajar. Jangan sampai rosak bawang ditimpa jambak. Kekuatan diri dan emosi, serta sentiasa menjaga keperibadi­an diri itu amat penting. Pilihlah rakan yang positif, yang bersemanga­t dan berakhlak mulia. Ingatlah janji anda kepada ibu bapa.

Dalam masa dua atau tiga tahun akan datang, mahasiswa akan mengorak langkah ke alam pekerjaan dan realiti dunia yang lebih mencabar. Oleh itu, amat wajar mahasiswa menggunaka­n pengalaman dan pembelajar­an di universiti sebagai platform untuk menjalani erti kehidupan sebenar.

Jangan disia-siakan peluang anda di sini. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air, bara yang digenggam, biar sampai menjadi arang. Tahniah mahasiswa.

Perkara baharu memang mengujakan, kadang kala menakutkan. Kita selalu takut dengan hal yang belum diterokai. Tetapi, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Pemikiran mahasiswa haruslah berubah dan ke hadapan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia