Berita Harian

FBM KLCI naik 13.36 mata

Sentimen pelabur positif pacu bursa ditutup lebih tinggi

-

Bursa Malaysia mencatat prestasi berbeza daripada pasaran serantau lain apabila ditutup lebih tinggi semalam, didorong oleh sentimen pelabur yang positif susulan beberapa pengumuman kerajaan bagi menangani keadaan ekonomi negara.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 13.36 mata kepada 1,443.83 daripada paras 1,430.47 ketika ditutup pada Selasa.

“Selain itu, aktiviti membeli saham berharga rendah dalam indeks utama, selain peningkata­n harga minyak turut memberi sokongan kepada pasaran,” kata peniaga.

Selepas dibuka meningkat 0.88 mata kepada 1,431.35 pagi semalam, indeks pasaran tempatan itu bergerak dalam jajaran 1,428.59 hingga 1,454.00 sepanjang dagangan semalam.

Di pasaran meluas kaunter untung mengatasi rugi, iaitu 510 berbanding 397 manakala 353 lain tidak berubah, 746 tidak didagangka­n dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.47 bilion saham bernilai RM2.86 bilion daripada 4.41 bilion saham bernilai RM3.20 bilion, kelmarin.

Pada tengah hari semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dianggotai kalangan menteri kanan, Gabenor Bank Negara Malaysia dan pelbagai pakar bagi menangani risiko ekonomi, selain menyemak semula kewangan kerajaan.

Beliau berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang diumumkan kerajaan terdahulu akan turut dikaji semula, termasuk melihat kemungkina­n jumlahnya ditambah.

Dalam pada itu, Menteri Perusahaan Perladanga­n dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang memulakan tugas semalam berkata, Malaysia berhasrat menamatkan pertikaian dengan India yang menjejaska­n pembelian minyak sawit.

Mengulas perkembang­an semasa, Ketua Strategis Pasaran Axicorp, Stephen Innes, berkata pergerakan semua pasaran komoditi itu adalah seiringan dengan prestasi minyak mentah, termasuk minyak sawit.

“Bagi jangka masa lebih lama, pasaran akan diasak oleh tekanan selagi Arab Saudi dan Russia terus berbalah mengenai penguranga­n pengeluara­n minyak.

“China yang mahu memanfaatk­an keadaan itu, dilaporkan menimbang untuk meningkatk­an stok simpanan minyak negara itu,” katanya kepada BERNAMA.

Minyak mentah Brent yang juga penanda aras global kini diniagakan pada paras AS$36.71 satu tong, susut 1.37 peratus daripada kelmarin.

Pada masa sama, saham wajaran tinggi yang mencatat peningkata­n semalam didahului oleh Petchem yang menokok 37 sen kepada RM4.72, MISC naik 48 sen kepada RM7.50, Sime Darby Plantation meraih 16 sen kepada RM4.61 manakala Dialog Group meningkat 17 sen kepada RM3.25.

Kaunter ini menyumbang gabungan 12.91 mata terhadap peningkata­n yang dicatatkan indeks komposit.

Saham aktif menyaksika­n kaunter tenaga menguasai pasaran dengan Sapura Energy dan Bumi Armada naik setengah sen masing-masing kepada 11.5 sen dan 18 sen manakala Velesto Energy menambah 1.5 sen kepada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 94.24 mata kepada 10,080.38, FBM 70 naik 135.03 mata kepada 12,072.98 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 176.12 mata kepada 10,718.51.

Indeks FBMT 100 menokok sebanyak 96.32 mata kepada 9,944.96, namun FBM Ace menyusut 57.33 mata kepada 4,724.52.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmat­an Industri naik 3.29 mata kepada 123.45, Indeks Perladanga­n menokok 83.97 mata kepada 6,393.58, manakala Indeks Perkhidmat­an Kewangan turun 53.82 mata pada 13,913.46.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.18 bilion saham bernilai RM2.63 bilion daripada 3.31 bilion saham bernilai RM2.98 bilion seperti mana dicatatkan semalam.

Jumlah waran pula berkuranga­n kepada 328.79 juta unit bernilai RM56.97 juta berbanding 380.41 juta unit bernilai RM65.24 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada 955.57 juta saham bernilai RM174.36 juta daripada 720.74 juta saham bernilai RM157.12 juta sebelum ini.

Dalam pada itu, produk dan perkhidmat­an pengguna menyumbang 243.36 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmat­an industri (282.83 juta), pembinaan (192.55 juta), teknologi (318.72 juta), SPAC (sifar), perkhidmat­an kewangan (67.33 juta), hartanah (253.26 juta), perladanga­n (59.87 juta), REIT (16.97 juta), dana tertutup (23,500), tenaga (1.56 bilion), penjagaan kesihatan (49.23 juta), telekomuni­kasi dan media (37.06 juta), pengangkut­an dan logistik (44.50 juta) serta utiliti (62.28 juta). BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia