Berita Harian

Tehran didesak bebaskan tahanan Amerika Syarikat

-

Washington: Amerika Syarikat (AS) menggesa Iran membebaska­n semua rakyatnya yang ditahan di negara itu kerana wabak COVID-19 dilaporkan makin merebak di penjara di situ.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, dalam satu kenyataan menegaskan, AS akan menganggap rejim Iran bertanggun­gjawab secara langsung terhadap sebarang kematian rakyatnya.

“Laporan bahawa COVID-19 merebak di penjara Iran sangat merisaukan dan memerlukan tindakan segera, tiada lain daripada pembebasan penuh semua warganegar­a AS.

“Penahanan mereka ketika keadaan semakin buruk akibat COVID-19 ini bertentang­an dengan asas kesopanan dan kemanusiaa­n,” katanya.

Kelmarin, tindakan Iran membebaska­n sementara 70,000 tahanan dalam usaha mengekang penularan coronaviru­s boleh membawa maut itu disifatkan ‘agak sedikit terlewat’ oleh pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Wakil khas PBB mengenai hak asasi manusia di Iran, Javaid Rehman, berkata Tehran cuba ‘menyembuny­ikan’ fakta mengenai cara menangani wabak di negara yang paling banyak merekodkan kematian di luar China itu.

Iran kelmarin melaporkan 54 kematian baharu dalam tempoh 24 jam lalu, angka tertinggi sejak permulaan wabak itu di negara terbabit, yang secara keseluruha­n mencatatka­n 8,042 kes jangkitan selain 291 kematian.

Agensi berita rasmi badan kehakiman Iran, Mizan Online, melaporkan ketua organisasi penjara Iran, Asghar Jahangir, berkata kira-kira 70,000 tahanan dibebaskan sementara dalam usaha memerangi wabak itu.

Disember lalu, Iran berkata ia bersedia menukar lebih banyak banduan dengan AS selepas memperoleh saintis Massoud Soleimani sebagai pertukaran untuk Xiyue Wang, seorang warga AS kelahiran China yang ditahan di republik Islam itu.

 ??  ?? Javaid Rehman
Javaid Rehman

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia