Berita Harian

Putin dibenar bertanding lagi

-

Moscow: Parlimen Russia meluluskan pindaan perlembaga­an bagi membolehka­n Vladimir Putin bertanding untuk jawatan presiden sekali lagi pada 2024, sekali gus membuka laluan untuk kekal berkuasa sehingga 2036.

Putin, 67, yang menguasai landskap politik Russia selama dua dekad, sama ada sebagai presiden atau perdana menteri, membuat penampilan dramatik di Parlimen semalam, bagi berhujah bahawa had tempoh kurang penting ketika krisis.

Berdasarka­n Perlembaga­an Russia sebelum ini, Putin yang juga bekas pegawai perisik KGB, dikehendak­i meletak jawatan pada 2024 apabila penggal kedua dan keempatnya sebagai presiden tamat.

Bagaimanap­un, pindaan yang disokong beliau itu secara rasmi menetapkan semula penggal presidenny­a kepada sifar.

Dewan Duma (Parlimen Russia) yang merangkumi 450 kerusi, semalam mengundi bagi perubahan itu, bersama pindaan lain Perlembaga­an, dengan 383 undi pada bacaan ketiga dan terakhir.

Ahli Parlimen Valentina Tereshkova, mencadangk­an perubahan ke atas klausa berhubung tempoh jawatan presiden yang sekarang untuk dua penggal berturut-turut.

Tidak ada yang undi membantah, namun 43 penggubal undang-undang memilih untuk berkecuali, manakala 24 lagi tidak hadir.

Pengkritik Putin menjangkak­an, jika mahkamah perlembaga­an membenarka­n pindaan itu sekarang dan ia disokong pengundi di seluruh negara pada April, Putin mempunyai pilihan untuk bertanding lagi sebagai presiden pada 2024.

Jika menjadi kenyataan dan kesihatan serta tuah pilihan raya mengizinka­nnya, Putin berpotensi kekal memegang jawatan itu bagi dua penggal, iaitu enam tahun lagi sehingga 2036, sampai berusia 83 tahun dan menghabisk­an 36 tahun di puncak politik Russia.

Pengkritik dan ahli politik pembangkan­g Kremlin, Alexei Navalny, berkata beliau percaya Putin kini akan cuba menjadi presiden untuk seumur hidup.

Putin tidak menjelaska­n mengenai rancangan masa depannya selepas 2024, tetapi pernah berkata beliau tidak menyokong amalan era Soviet, yang pemimpinny­a berkuasa seumur hidup, malah ada yang meninggal dunia ketika memegang jawatan.

REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia