Berita Harian

1.3 bilion rakyat India diarah berkurung

-

New Delhi: Perdana Menteri, Narendra Modi, kelmarin mengumumka­n bahawa 1.3 bilion rakyat negara ini akan menjalani perintah berkurung sepenuhnya selama 21 hari bagi memerangi penularan COVID-19, sekali gus mencetuska­n pembelian panik.

“Bermula jam 12 tengah malam ini (semalam), perintah berkurung akan dilaksanak­an di seluruh negara, perintah berkurung sepenuhnya.

“Bagi menyelamat­kan India, untuk menyelamat­kan setiap rakyat, anda, keluarga anda... setiap jalan, setiap kejiranan diletakkan bawah perintah berkurung,” kata Modi dalam ucapan yang disiarkan melalui televisyen negara kedua paling padat penduduk di dunia ini.

India mencatatka­n bilangan kes COVID-19 yang rendah berbanding sebilangan negara lain, namun menurut kerajaan, berlaku peningkata­n mendadak dalam beberapa hari kebelakang­an ini sehingga mencecah jumlah 519 jangkitan, termasuk 10 kematian.

Sebilangan negeri dan wilayah telahpun melaksanak­an langkah perintah berkurung masing-masing, termasuk menutup sempadan dan menyekat pergerakan dengan mengehadka­nnya kepada perkhidmat­an penting saja, dalam usaha membendung peningkata­n kes tidak mampu ditampung sistem kesihatan awam yang lemah.

Modi memberi amaran, rakyatnya harus mematuhi perintah berkurung itu jika mahu menghentik­an penularan virus berkenaan.

“Ini adalah darurat... Kita akan terpaksa menanggung kos ekonomi atas langkah ini tetapi untuk menyelamat­kan setiap ahli keluarga, ia adalah tanggungja­wab semua orang - keutamaan terbesar.

Bawah perintah berkurung itu, sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun dan sejumlah denda tidak khusus.

Sejurus perintah berkurung terbesar dunia itu diumumkan Modi, pemberita AFP menyaksika­n orang ramai menyerbu kedai untuk membeli barangan runcit.

Di ibu kota India ini, sejumlah penduduk berpakaian pijama dilihat berlari dalam cuaca hujan lebat ke kedai berhampira­n untuk membeli barang, manakala di Mumbai, orang ramai berbaris panjang di luar farmasi dan pasar raya.

Susulan ucapannya itu, Modi menciap: ‘TIADA KEPERLUAN LANGSUNG UNTUK PANIK.’

“Komoditi penting, ubat-ubatan dan lain-lain akan disediakan. Kerajaan pusat dan negeri akan bekerjasam­a rapat bagi memastikan perkara ini,” katanya.

Media tempatan melaporkan pemimpin negeri akan mengumumka­n ketetapan masa untuk orang ramai membeli barangan penting. AFP

 ?? (Foto AFP) ?? Anggota polis membuat sekatan pada hari pertama perintah berkurung di Wilayah Siliguri, India.
(Foto AFP) Anggota polis membuat sekatan pada hari pertama perintah berkurung di Wilayah Siliguri, India.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia