Berita Harian

Derita angin ahmar, diuji kesempitan hidup

Izam EYE ketepi malu minta sumbangan orang ramai apabila poster wajahnya tersebar

- Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bh.com.my

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, begitu suratan ditempuhi vokalis kumpulan EYE, Izam, 52. Bukan sahaja menderita penyakit angin ahmar separuh badan, malah diuji dengan kesempitan hidup.

Izam diserang penyakit angin ahmar separuh badan sejak hampir setahun lalu, tetapi penyanyi lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati itu masih mampu menggagahk­an diri mencari rezeki dengan memenuhi undangan nyanyian, biarpun menyanyi atas kerusi roda.

Bagaimanap­un, kini, Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Mohd Arshad menempuh situasi sukar apabila terputus punca pendapatan dalam tempoh

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Terbaru, poster gambarnya meminta sumbangan orang ramai bagi membantu meringanka­n bebanannya tersebar.

Tanpa berselindu­ng, Izam mengakui: “Tuhan sentiasa menguji hamba-nya. Saya juga tidak terlepas ujian hidup yang berat ini.

“Ini bahagian hidup saya. Saya terima dengan hati yang reda. Sebagai hamba, saya kena minta jalan dan berusaha.

“Bagaimanap­un, apalah daya, saya tiada keupayaan seperti insan lain selepas diserang penyakit angin ahmar separuh badan kira-kira 11 bulan lalu.

“Pada akhirnya, saya tiada pilihan, terpaksa minta sumbangan orang ramai dalam tempoh PKP ini. Nak tak nak, saya kena tebalkan muka, buang perasaan malu,” katanya kepada HIP.

Izam berkata, ketidakupa­yaan pada diri tidak sesekali membuatkan­nya putus asa dalam mencari sesuap rezeki bagi menanggung dua isteri dan tujuh cahaya mata.

“Mungkin saya tak mampu ligat seperti dahulu kerana pergerakan terbatas, jalan senget dan tak sempurna. Namun, saya masih mempunyai kudrat memenuhi undangan nyanyian, biarpun menyanyi atas kerusi roda.

“Saya mampu bertahan dan ada sumber pendapatan untuk menanggung keluarga. Bagaimanap­un, sekarang saya berdepan hilang punca pendapatan berikutan tempoh PKP.

“Saya mempunyai dua isteri dan tujuh cahaya mata. Saya risau nasib diri dan keluarga, lebih lagi dalam keadaan penyakit angin ahmar separuh badan,” katanya.

Baginya, apa yang lebih penting adalah keluarga.

“Saya ada 10 mulut termasuk diri sendiri untuk disuap.

“Jika difikirkan status sebagai artis malu minta sumbangan, tetapi akhirnya anak isteri kebulur tidak makan di rumah, semua itu tidak bermakna,” katanya.

Izam berkata, Ramadan kali ini disambut dengan sederhana.

“Saya duduk di rumah seperti saranan kerajaan. Alhamdulil­lah, ada sedikit sumbangan yang masuk ke akaun bank daripada mereka yang bermurah hati menghulurk­an derma.

“Duit simpanan pula masih berbaki sedikit lagi. Nak menyimpan, saya dan kumpulan EYE pun bukan lebat sangat tawaran persembaha­n seperti zaman dahulu.

“Semuanya serba sederhana dan ala kadar. Asalkan isteri dan anak dapat menjalani ibadat puasa dengan tenang dan ada sedikit lauk pauk berbuka puasa,” katanya sayu.

Katanya, dia bersyukur jarak rumah kedua-dua isterinya di Cheras hanya 500 meter.

“Alhamdulil­lah, isteri dan anak memahami situasi yang saya alami,” katanya.

Mengulas dakwaan pernah menyanyi sambil kutip derma, Izam berkata, itu semua atas kapasiti kerja amal bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sumbangan diminta untuk membantu masyarakat Sabah yang berdepan kemiskinan.

“Bukan saya sahaja, kerja amal ini dilakukan bersama kumpulan Rabbani dan

Ali XPDC,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia