Berita Harian

Syarikat perlu 6 bulan pulihkan perniagaan

Kaji selidik Jabatan Perangkaan dapati Pakej PRIHATIN bantu ringan beban

-

Kuala Lumpur: Kira-kira dua daripada lima syarikat tempatan atau 42.5 peratus responden menganggar­kan tempoh lebih daripada enam bulan diperlukan untuk kembali pulih seperti biasa sekiranya COVID-19 berjaya dibendung.

Dapatan itu diperoleh daripada responden yang menyertai Survei Khas Kesan COVID-19 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Kaji selidik juga mendapati, 28.7 peratus daripada 4,094 responden menganggar­kan tempoh empat hingga enam bulan diperlukan, manakala 1.9 peratus menyatakan syarikat mereka tidak akan pulih dan dijangka terpaksa ditutup.

Sementara itu, kaji selidik mendapati lebih separuh responden atau 53.4 peratus daripada 4,094 syarikat dan firma perniagaan hanya mampu bertahan satu hingga dua bulan sekiranya kemudahan cuti bergaji penuh atau separuh gaji diberikan kepada pekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia mendapati, sepanjang tempoh PKP, 67.8 peratus responden menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh berkenaan, manakala 12.3 peratus syarikat memperoleh pendapatan melalui jualan atau perkhidmat­an dalam talian dan 9.8 peratus daripada jualan di premis fizikal.

“Kajian juga mendapati, sebanyak 88.8 peratus responden dari kategori syarikat sendirian berhad menghadapi isu dalam pembayaran gaji pekerja.

“Sebaliknya, syarikat hak milik perseorang­an pula menyatakan cabaran utama adalah ketiadaan pelanggan, iaitu 70.7 peratus dan diikuti pembayaran gaji pekerja (62.5 peratus),” kata kaji selidik itu.

Kaji selidik khas itu dilaksanak­an secara dalam talian pada 10 April hingga 1 Mei lalu, diwakili oleh syarikat dan firma perniagaan berstatus mikro sebanyak 43.4 peratus, diikuti oleh perniagaan berstatus kecil (40.4 peratus), berstatus sederhana (9.1 peratus) dan berstatus besar (7.2 peratus).

Kaji selidik juga mendapati sebanyak 68.9 peratus responden menggunaka­n simpanan sebagai sumber utama bagi menampung kos operasi atau modal kerja sepanjang PKP, diikuti 19.8 peratus melalui pinjaman dan 11.3 peratus adalah suntikan modal.

Dua bantuan utama diperlukan syarikat adalah bantuan kewangan atau subsidi daripada kerajaan (83.1 peratus) dan penguranga­n cukai syarikat (67.0 peratus).

Ketua Perangkawa­n Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sepanjang PKP, pelbagai insentif yang diberikan kerajaan antaranya dana RM10 bilion, khusus untuk membantu meringanka­n beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta perusahaan mikro.

Katanya, ia langkah PRIHATIN Tambahan yang radikal dan mampu merangsang industri PKS di negara ini, selain menghidupk­an kembali ekonomi negara pada masa kini.

“Dengan sebab itu, melalui dapatan Survei Khas ini, sebanyak 52.1 peratus syarikat menyatakan Pakej PRIHATIN ini dapat meringanka­n beban mereka,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 67.8 peratus responden menyatakan tiada sumber pendapatan sepanjang tempoh berkenaan, manakala 12.3 peratus syarikat memperoleh pendapatan melalui jualan atau perkhidmat­an dalam talian.

Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawa­n Malaysia

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia