Berita Harian

Tiada KWSP punca rakyat tak minat kerja pasar

-

Kuala Lumpur: Tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditawarkan majikan di Pasar Harian Selayang kepada pekerja tempatan menjadi antara faktor golongan berkenaan tidak berminat menceburi sektor perniagaan itu.

Seorang peniaga ayam di pasar itu yang mahu dikenali sebagai Halimah, 50-an, berkata setiap pekerja, terutama yang berkeluarg­a sudah tentu memerlukan caruman KWSP bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Katanya, ketika ini Pasar Harian Selayang kekurangan pekerja tempatan dan sebagai peniaga, dia memahami mengapa hal itu berlaku.

“Dengan tiada potongan KWSP, tambahan pula bulan puasa begini, lagi susah majikan nak cari pekerja tempatan.

“Saya harap kerajaan teliti perkara ini, mungkin boleh wujudkan dasar baharu bagi memastikan pekerja tempatan berkaitan dapat potongan KWSP.

“Kita mahu situasi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua belah pihak, iaitu majikan dan pekerja,” katanya ketika ditemui BH, di pasar itu, di sini, semalam.

Sementara itu bagi peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Loo, 60-an, berkata dia berharap kerajaan dapat meneliti semula keputusan untuk tidak membenarka­n warga asing berkerja di pasar berkenaan.

Katanya, apabila warga asing tidak dibenarkan bekerja ia bukan jaminan anak muda tempatan mahu bekerja di pasar itu.

“Warga asing tidak dibenarkan kerja, manakala anak muda tempatan tidak mahu kerja, siapa susah sekarang? Sudah tentu peniaga.

“Sebagai peniaga saya perlu buat pesanan stok, terpaksa juga angkut barang, urusan jual beli pun saya juga kena buat, tidak cukup tangan,” katanya.

Loo berkata, tidak salah menggajika­n pekerja asing asalkan mereka mempunyai dokumen yang sah kerana golongan itu juga perlu mencari rezeki.

 ?? (Foto Aswadi Alias/bh) ?? Keadaan Pasar Harian Selayang lengang selepas kerajaan melarang mengambil pekerja warga asing.
(Foto Aswadi Alias/bh) Keadaan Pasar Harian Selayang lengang selepas kerajaan melarang mengambil pekerja warga asing.
 ??  ?? Keratan akhbar BH Isnin lalu.
Keratan akhbar BH Isnin lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia