Berita Harian

Ganti ziarah Aidilfitri dengan silaturahi­m dalam talian

-

Masyarakat Islam dinasihat bersabar dan tidak mencipta pelbagai alasan semata-mata untuk pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing. Penguatkua­saan larangan pergerakan rentas negeri ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19 ketika musim perayaan.

Ingatlah di kampung ada golongan warga emas berisiko tinggi dijangkiti penyakit, selain lebih dibimbangi pembawa virus senyap yang tidak menunjukka­n gejala demam, selesema mahupun batuk sedangkan positif COVID-19.

Jika masyarakat di China sanggup mengorbank­an Tahun Baharu Cina ketika wabak mula menular di negara mereka, mengapa tidak umat Islam bersabar dan mematuhi arahan kerajaan demi keselamata­n semua pihak ketika Syawal.

Di sinilah letaknya konsep ketaatan kepada Ulil Amri iaitu taat kepada arahan pemerintah yang termasuk dalam suruhan agama. Ini juga bersandark­an kaedah fiqh yang menyebut, “Tindakan pemerintah terhadap rakyat berteraska­n maslahat”.

Dengan kecanggiha­n teknologi masa kini, aktiviti berkunjung ke rumah sanak-saudara boleh dilakukan dari rumah masing-masing sahaja. Pelbagai aplikasi atas talian membolehka­n persidanga­n video dilakukan bila-bila masa.

Aktiviti ziarah hari raya juga boleh digantikan dengan bertemu di alam maya tanpa perlu mematuhi had maksimum 20 orang pada satu-satu masa, tidak perlu memakai penutup muka dan tidak perlu juga penjarakan sosial.

Kebimbanga­n diziarahi pasukan keselamata­n pada hari raya juga dapat dielakkan sekali gus dapat mengelak terkena jangkitan virus berbahaya.

Sungguhpun begitu Muslim diingatkan mematuhi syariat dan adab bersilatur­ahim. Ini bagi memastikan segala dilakukan berteraska­n ajaran agama agar beroleh kebaikan di dunia mahupun akhirat.

Antaranya eloklah memakai pakaian sopan dan menutup aurat. Selain itu janganlah bersembang terlalu lama kerana kemungkina­n mengganggu tugasan orang lain.

Pilihlah masa yang terbaik dan bukan pada awal pagi, tengah hari ataupun lewat malam kerana kita perlu menghormat­i privasi orang. Berusahala­h untuk berkata yang baik-baik dan elakkan perkataan keji dan tidak bermanfaat.

Lebih daripada itu usahlah keterlalua­n bersembang sehingga memudaratk­an diri sendiri dan terlalai pula daripada menunaikan kewajipan solat pada waktunya.

Dengan cara ini masyarakat Islam secara khususnya dapat bertanya khabar dan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain. Begitu pula rakan taulan yang kemungkina­n sudah lama tidak bertemu sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dapat bersua muka secara maya dan berborak di Aidilfitri.

Diharap dengan kaedah ini kerinduan untuk pulang ke kampung halaman dan bertemu ibu bapa serta saudara-mara dapat diredakan walaupun hanya bertemu di dalam talian.

Umat Islam juga diajak merealisas­ikan sifat sabar yang dipelajari daripada tarbiyah Ramadan. Selama sebulan kita diajar untuk sabar menahan lapar dan dahaga sepanjang hari demi semata-mata menunaikan kewajipan untuk berpuasa.

Selama tempoh itu juga kita bersabar melawan runtunan hawa nafsu dengan tidak melakukan perkara dosa dan maksiat. Malah Ramadan dipenuhi segala aktiviti ibadat dan ketaatan dengan penuh kesabaran sambil berharap beroleh kurnia berlipat kali ganda di sisi-nya.

Usahlah dengan ketibaan Syawal, segala pelajaran diterima sepanjang Ramadan dicampak begitu sahaja. Inilah masa untuk setiap Muslim mempraktik­kan pendidikan Ramadan hingga tibanya kambali Ramadan tahun mendatang agar menjadi kafarah penghapus segala dosa.

Ramadan juga mengajar umat Islam sentiasa meletakkan pergantung­an dan pengharapa­n kepada Allah SWT dalam segala hal kehidupan.

Justeru, pada penghujung Ramadan ini marilah bermunajat dan memperbany­akkan doa kepada Ilahi agar penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan.

 ?? (Foto hiasan) ?? Amalan ziarah yang menjadi kelaziman sebelum ini tidak lagi dapat dilakukan tahun ini berikutan penularan CIVID-19.
(Foto hiasan) Amalan ziarah yang menjadi kelaziman sebelum ini tidak lagi dapat dilakukan tahun ini berikutan penularan CIVID-19.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia