Berita Harian

Hakim serius SOP penjarakan sosial

-

Kuala Lumpur: Hakim yang mendengar perbicaraa­n kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib Razak, memandang serius Prosedur Standard Operasi (SOP) penjarakan sosial bagi menangani penularan wabak COVID-19.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah, tegas menolak permintaan pihak pendakwaan dan peguam bela berhubung kedudukan dan bilangan pihak dibenarkan berada dalam mahkamah.

Sebaik prosiding bermula, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, meminta mahkamah membenarka­n Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berada di sebelahnya untuk membantu dalam memeriksa eksibit ketika saksi disoal balas peguam.

Bagaimanap­un, permintaan itu ditolak hakim yang menyatakan beliau perlu mematuhi SOP.

Sequerah tetap dengan pendiriann­ya walaupun selepas diberitahu mengenai pesanan daripada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutua­n bahawa hakim boleh menggunaka­n budi bicara dalam perkara berkaitan.

“Dalam kes ini, saya enggan menggunaka­n budi bicara saya. Saya akan tetap berpegang pada arahan sekarang. Mohon menulis surat kepada Hakim Besar Malaya,” katanya.

Sequerah turut menolak permintaan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya lebih ramai peguam bela dibenarkan berada dalam mahkamah.

“Jika lebih ramai dibenarkan berada dalam mahkamah walaupun terdapat sekatan perintah penjarakan sosial, lebih baik bicara dijalankan di Pasar Borong Selayang sahaja.”

Muhammad Shafee berkata, pihak pembelaan diberitahu beberapa peguam bela dibenarkan berada di mahkamah melalui pas awam simpanan.

Bagaimanap­un, katanya, pas awam didapati kehabisan di kaunter pendaftara­n pagi semalam.

Peguam itu turut membayangk­an kemungkina­n perlu menarik diri daripada mewakili Najib kerana tidak dapat berfungsi sepenuhnya dalam keadaan sedemikian.

Sequerah kemudian bertanya kepada Muhammad Shafee mengenai bilangan peguam yang dimahukan berada di mahkamah.

“Apa yang saya bimbangkan ialah, jika kita tidak patuh kepada SOP, tidak ada gunanya. Baik kita benarkan sesiapa sahaja masuk ke dalam mahkamah.

“Apa yang menjadi keutamaan ialah kesihatan dan keselamata­n orang ramai,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia