Berita Harian

Lantik EXCO Kedah ikut formula Pusat

MB nafi buat tawaran jawatan kepada ADUN BERSATU

- Oleh M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman bhnews@bh.com.my

Alor Setar: Formula pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah yang baharu ditentukan kepemimpin­an peringkat Pusat mengikut konsensus parti dalam Perikatan Nasional (PN).

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata lebih separuh EXCO yang dilantik mempunyai pengalaman luas, termasuk pernah berkhidmat di bawah kerajaan negeri terdahulu.

Beliau menafikan berlaku tawaran jawatan EXCO kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), terutama membabitka­n Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bagi memperoleh sokongan membentuk kerajaan.

“Mereka ini memang ADUN

BERSATU, jadi tiada istilah mereka lompat parti, tiada tawaran dibuat pada peringkat negeri.

“Formula ini ditentukan pada peringkat Pusat untuk dilaksanak­an di Kedah, konsensus yang kita capai untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, semua 10 EXCO Kedah mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddi­n Sultan Badlishah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Katanya, daripada 10 EXCO berkenaan, empat mewakili PAS iaitu Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Datuk Siti Aishah Ghazali, Wan Romani Wan Salim dan Datuk Najmi Ahmad, manakala tiga mewakili BERSATU, iaitu Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Halimaton Shaadiah Saad serta Mohd Firdaus Ahmad.

Beliau berkata, dua EXCO, iaitu Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee adalah bekas ADUN PKR yang kini menjadi Bebas, manakala Datuk Suraya Yaacob mewakili UMNO.

Muhammad Sanusi berkata, tiga ADUN wanita turut dilantik, berbanding hanya dua sebelum ini bagi memastikan suara golongan berkenaan terus didengar.

“Enam EXCO terbabit pernah memegang portfolio sama dan ia menjadi kesinambun­gan serta kelebihan kepada PN dalam mentadbir Kedah.

“Pada masa sama, kita menghargai peranan wanita dan perjuangan melantik 30 peratus pemimpin wanita tercapai hari ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, hilang majoriti selepas 23 ADUN menyatakan hilang kepercayaa­n terhadap beliau.

Berikutan itu, PN Kedah mengambil alih kerajaan negeri selepas Muhammad Sanusi mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar, Ahad lalu.

Komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksika­n PAS menguasai 15 kerusi, PKR (lima), Parti Amanah Nasional (AMANAH) (empat), BERSATU-TAN Sri Muhyiddin Yassin (empat), BERSATU-TUN Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Muhammad Sanusi bersama EXCO baharu selepas Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.
(Foto BERNAMA) Muhammad Sanusi bersama EXCO baharu selepas Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah EXCO Kedah di Wisma Darul Aman, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia