Berita Harian

Aidilfitri di perantauan jauh berbeza

Berikutan penularan COVID-19, pelajar lebih tumpu soal kesihatan, keselamata­n

- Oleh Mohd Khairul Anam Md Khairudin khairul.anam@bh.com.my

Kuala Lumpur: Perayaan Aidilfitri yang akan disambut beberapa hari lagi pastinya memberikan suasana berbeza berbanding tahun sebelumnya khususnya kepada mahasiswa apatah lagi dalam tempoh pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan COVID-19 ketika ini.

Situasi sama turut dirasai pelajar Malaysia yang melanjutka­n pengajian di luar negara lebih-lebih lagi tidak dapat meraikan lebaran bersama-sama keluarga tercinta di sisi.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Kewangan, University of Manchester, United Kingdom, Nurul Intan Azira Abdul Manab, 23, berkata persiapan untuk meraikan Aidilfitri tahun ini sedikit berbeza dan disambut secara sederhana susulan pandemik yang melanda seluruh dunia kini.

Beliau berkata, pelajar di sana juga sudah membiasaka­n diri dengan keadaan norma baharu itu, malah pelbagai aktiviti termasuk menyediaka­n juadah hari raya seperti rendang dan lontong turut dilakukan bersama-sama rakan di rumah.

“Sambutan Aidilfitri di perantauan adalah lebih kecil namun cukup meriah di mana pada tahun sebelum ini, kami akan berkunjung ke rumah rakan-rakan lain, mengadakan jamuan secara bersama dan bergambar beramai-ramai, namun begitu tahun ini aktiviti itu perlu dihadkan, malah solat sunat Aidilfitri juga hanya dilakukan di rumah sahaja.

“Oleh kerana kedutaan Malaysia berpusat di London, justeru program bersempena Syawal mungkin lebih banyak tertumpu di sana, selain itu tiada penganjura­n program berkaitan daripada universiti disebabkan pandemik COVID-19 dan pengumuman lebih tertumpu kepada peperiksaa­n yang perlu kami duduki,” katanya kepada BH Varsiti.

Nurul Intan menjelaska­n waktu berpuasa di sana juga lebih panjang berbanding di negara ini, justeru beliau turut melakukan beberapa aktiviti berfaedah untuk mengisi waktu lapang termasuk bersenam, membaca buku dan menyiapkan tugasan kuliah.

Berbeza pula dengan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an Mekanikal Pennsylvan­ia State University, Amerika Syarikat,

Muhamad Al Hakim 'Asri, 18, yang teruja untuk merasai pengalaman menyambut Aidilfitri buat pertama kali di perantauan tanpa keluarga tercinta.

Anak kelahiran Johor itu berkata, keakraban dengan rakan senior yang lain juga dipupuk di mana mereka turut memasak pelbagai jenis makanan Malaysia sebagai juadah berbuka puasa dan hari raya kelak, pada masa sama, aspek kebersihan serta penjarakan sosial turut diutamakan.

“Saya adalah pelajar tahun pertama dan disebabkan COVID-19 ini, saya perlu menumpang sementara di rumah senior kerana kebanyakan universiti di sini tidak membenarka­n pelajar masuk semula ke asrama selepas tamat cuti musim bunga pada Mac lalu.

“Sehubungan itu, pengalaman baharu ini bagi saya cukup istimewa kerana ia mengeratka­n lagi hubungan kami dan komuniti Malaysia yang tinggal di Vairo Village ini, bahkan terdapat aktiviti menyediaka­n potluck untuk juadah berbuka puasa antaranya roti canai, martabak dan makanan Malaysia yang lain,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi University of Auckland, New Zealand, Diana Ahmad Lutfi, 21, berkata terdapat pelbagai aktiviti dilakukann­ya dengan rakan lain khususnya bagi mengimarah­kan lagi bulan Ramadan ini antaranya solat sunat tarawih, sesi tazkirah dan program tadarus al-quran.

“Di samping memasak juadah berbuka puasa, kami juga melakukan sesi tazkirah ringkas menggunaka­n platform aplikasi Zoom secara dalam talian iaitu pada setiap Isnin, Rabu serta Jumaat, malah program tadarus al-quran juga masih berjalan seperti tahun sebelum ini namun pembahagia­n juzuk adalah mengikut rumah masing-masing.

“Memandangk­an New Zealand sudah melepasi saat getir full lockdown dan sedang berada pada amaran peringkat kedua, urusan perniagaan, aktiviti seharian dan sosial sudah dibenarkan serta dijalankan seperti biasa, namun masih mengekalka­n penjarakan sosial dan berkumpul kurang daripada 10 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Berhubung persiapan menyambut Syawal, anak kelahiran Bukit Mertajam itu menjangkak­an sambutan lebaran kali ini hanya diraikan dalam kelompok kecil bersama-sama rakan di rumah dan pihak kerajaan sudah memaklumka­n tiada pelaksanaa­n solat sunat Aidilfitri di masjid seperti kebiasaan tahun sebelumnya.

“Tidak dinafikan lebaran kali ini sedikit berbeza kerana paling penting mesti utamakan keselamata­n diri di mana tidak boleh bersalaman, amalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan diri, bahkan bagi saya sambutan Aidilfitri dengan rakan-rakan juga cukup istimewa kerana boleh berkumpul serta merasai pelbagai juadah yang mereka sediakan,” katanya.

 ?? (Foto hiasan) ?? Kemeriahan sambutan Aidilfitri dirai pelajar Malaysia di luar negara pada tahun sebelum ini pasti memberi sedikit kelainan pada lebaran kali ini dengan norma baharu susulan pandemik COVID-19.
(Foto hiasan) Kemeriahan sambutan Aidilfitri dirai pelajar Malaysia di luar negara pada tahun sebelum ini pasti memberi sedikit kelainan pada lebaran kali ini dengan norma baharu susulan pandemik COVID-19.
 ??  ?? Nurul Intan Azira Abdul Manab
Nurul Intan Azira Abdul Manab
 ??  ?? Muhamad Al Hakim 'Asri
Muhamad Al Hakim 'Asri
 ??  ?? Diana Ahmad Lutfi
Diana Ahmad Lutfi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia