Berita Harian

Mila tak sanggup buang pekerja

Penyanyi bantu keluarga susah, keluar zakat lebih demi selamat perniagaan

- Oleh Serimah Mohd Sallehuddi­n bhhip@bh.com.my

Tidak pernah Mila Jirin, 33, menduga sehebat ini ujian yang menimpanya. Andai tidak kuat iman tentunya penyanyi lagu Persis Mutiara itu memilih jalan penyelesai­an tidak sewajarnya demi melepaskan segala tekanan.

Tujuh tahun mengusahak­an perniagaan dewan perkahwina­n dan katering, Bizmilla Wedding Centre, tidak pernah juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu membayangk­an melalui detik sukar apabila perniagaan yang diusahakan dengan hasil titik peluh bersama suami, Isz Mustapha berada dalam ambang bahaya hanya disebabkan virus COVID-19 yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Perlahan suara di hujung talian, Mila berkata, awalnya, dia tidak kuat, hilang semangat, sedih dan tertekan. Namun, dirinya bersyukur dikurniaka­n suami yang sentiasa memandang positif setiap apa yang berlaku.

“Saya runsing memikirkan nasib pekerja hampir 100 orang. Saya faham mereka memiliki anak, isteri dan keluarga yang perlu ditanggung. Jika boleh, saya tidak mahu mereka menerima nasib sama seperti pekerja lain yang tidak dibayar gaji, dibuang kerja atau hanya menerima separuh gaji.

“Saya tak boleh tidur nyenyak saban malam memikirkan bagaimana mahu mempertaha­nkan syarikat dan pekerja. Saya tak mahu melepaskan mereka kerana ada antaranya yang sudah lima tahun bekerja dan susah senang bersama saya,” katanya kepada HIP.

Mila atau nama sebenarnya, Norsyarmil­la Jirin berkata, dia bekerja tiga kali ganda sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbanding hari biasa demi mencari ilham bagaimana memastikan perniagaan diusahakan terus bertahan.

“Hampir 90 peratus pekerja pulang ke kampung halaman dalam tempoh PKP dilaksanak­an. Saya dan pihak pengurusan buntu apabila tidak boleh menggerakk­an pelan perniagaan yang baharu kerana ketiadaan pekerja.

“Hanya selepas 12 Mei lalu, mereka pulang dan barulah saya dapat mengatur pertemuan dengan semua pekerja. Saya berterus-terang dengan menceritak­an situasi syarikat, berapa lama boleh bertahan dan sebagainya. Saya tidak mahu mereka bermimpi dan menganggap sedang bercuti,” katanya.

Pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie dan Kami Histeria itu berkata, melihat suami berkongsi kesusahan orang lain dalam laman sosial, ia secara tidak langsung menyedarka­n saya di sebalik keperitan yang dialami, ada lagi insan yang lebih susah.

“Dalam fasa ini juga sebenarnya saya dan suami memperbany­akkan menghulur sumbangan. Kami membuat tanggungja­wab sosial korporat (CSR) dan mengeluark­an zakat lebih banyak daripada sebelum ini apabila terbaca ada sahaja keluarga susah yang perlukan bantuan, setiap hari.

“Saya dan suami buat atas niat sekiranya kami bantu mereka, Allah akan bantu kami. Kita tidak tahu doa siapa yang diangkat Allah nanti.

“Saya mengedarka­n 7,000 bubur lambuk, setiap hari. Apabila banyak memberikan saya dapat merasakan satu kelegaan dan ketenangan,” kata Mila.

Katanya, dia berdepan masalah besar untuk menjawab pertanyaan pelanggan yang sudah menempah pakej perkahwina­n. Biarpun, ada antaranya yang sudah membatal tempahan, tetapi dia bersyukur 90 peratus pelanggan masih tidak menarik diri dan memilih menunda majlis pada tahun hadapan.

“Saya tak putus bermohon dalam setiap sujud dan solat Allah melembutka­n hati pelanggan untuk tidak menarik diri. Hanya beberapa pelanggan yang mahu mengadakan majlis resepsi pada Mac dan April menarik diri, tetapi mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetuj­ui,” katanya sebak.

Gara-gara masih samar kedudukan perniagaan perkahwina­n, Mila berkata, dia kini memulakan perniagaan baharu dalam pembuatan kek dan pastri.

Katanya, dia perlu tampil dengan idea perniagaan baharu yang mempunyai kaitan dengan perniagaan demi kelangsung­an syarikat dan nasib pekerja.

“Saya langsung tidak memikirkan soal keuntungan kerana apa yang lebih penting, nasib pekerja saya terbela,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia