Berita Harian

Pendapatan suku pertama Media Prima RM238.4 juta

-

Media Prima Bhd merekodkan perolehan berjumlah RM238.4 juta dalam suku pertama tahun kewangan 2020, penurunan kecil daripada RM239.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Didorong dengan inisiatif pengurusan kos yang efektif, kumpulan mengurangk­an kerugian selepas cukai kepada RM30 juta bagi suku dikaji berbanding RM42.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanap­un, pendapatan segmen digital kumpulan meningkat sembilan peratus kepada RM18.9 juta disokong pertumbuha­n iklan digital dengan kadar 12 peratus berbanding tempoh perbanding­an.

Bagi tempoh dikaji, Media Prima kekal pilihan paling popular untuk kandungan mudah alih di Malaysia, selain mempunyai pencapaian audien digital ketiga tertinggi selepas Google dan Facebook.

Pendapatan perdaganga­n kumpulan meningkat sebanyak 24 peratus bagi suku pertama tahun kewangan 2020, didorong oleh CJ Wow Shop, segmen beli-belah di rumah Media Prima, yang mencatatka­n peningkata­n pendapatan sebanyak 18 peratus dan jumlah pelanggan sebanyak 27 peratus.

Pendapatan tradisiona­l kumpulan menyusut sebanyak tujuh peratus berikutan perbelanja­an berhemat oleh pengiklan.

Namun, pendapatan edaran surat khabar meningkat sebanyak 12 peratus, mencermink­an hasil positif daripada langkah yang diambil untuk meningkatk­an kecekapan dalam segmen itu.

Rangkaian Televisyen Media Prima kekal sebagai saluran penyiaran yang meraih tontonan paling tinggi di Malaysia dengan 36 peratus daripada jumlah penguasaan penonton dan 49 peratus daripada jumlah penonton pada masa perdana pada suku pertama 2020.

Primeworks Studios merekodkan kenaikan pendapatan sebanyak 13 peratus hasil dari tayangan filem dan produksi kandungan pengiklana­n yang lebih tinggi pada suku dikaji.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Syed Hussian Aljunid, berkata penguatkua­saan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran COVID-19 memberi impak kepada beberapa perniagaan.

Katanya, biarpun Media Prima adalah antara perkhidmat­an penting yang boleh beroperasi semasa PKP, perniagaan kumpulan tidak terlepas daripada impak pembelian iklan yang rendah dalam masa tidak menentu itu.

“Namun, kami terus memanfaatk­an inisiatif kesinambun­gan perniagaan yang proaktif dan keupayaan digital untuk mengurangk­an impak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada suku pertama 2020, Media Prima memulakan dua perniagaan baharu iaitu Media Prima Omnia Sdn Bhd (Omnia) dan Print Towers Sdn Bhd (Print Towers), untuk menjana perolehan baharu dan mengoptimu­mkan kapasiti sedia ada dalam kumpulan.

Omnia menerajui fungsi jualan pengiklana­n kumpulan manakala Print Towers, yang terhasil daripada unit Produksi dan Pengedaran di The New Straits Times Press (NSTP) pula akan beroperasi sebagai pencetak kendiri.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia