Berita Harian

Pendaftara­n pelajar IPT secara online

Semua maklumat, kaedah akan dimaklum selepas menerima surat tawaran

- Oleh Mohd Roji Kawi, Mohd Nasaruddin Parzi, Dziyaul Afnan Abdul Rahman dan Rafiqah Dahali bhnews@bh.com.my

Universiti awam (UA) akan melaksanak­an pendaftara­n kemasukan pelajar baharu secara dalam talian untuk sesi Julai ini bagi mengelak risiko penularan COVID-19. Mengikut kaedah yang diluluskan Senat UA itu, pelajar dan ibu bapa tidak perlu hadir ke kampus. Minggu orientasi juga tidak akan diadakan.

Kuala Lumpur: Semua universiti awam (UA) akan melaksanak­an kaedah pendaftara­n kemasukan pelajar baharu ke kampus secara dalam talian pada Julai ini bagi mengelak risiko penularan COVID-19.

Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) memaklumka­n, keputusan itu sudah diluluskan di peringkat senat UA, sekali gus pelajar dan ibu bapa mereka tidak perlu hadir ke kampus bagi urusan pendaftara­n.

Presiden MASTI, Raja Shah Erman Raja Ariffin, berkata setiap pelajar baharu akan dimaklumka­n mengenai cara dan kaedah pendaftara­n kemasukan ke kampus secara dalam talian sebaik menerima surat tawaran yang dijangka dikeluarka­n bermula minggu depan.

“Bagi urusan kemasukan pelajar baharu, memang pihak UA sudah bersedia dengan kaedah baharu. Pelajar hanya perlu mengesahka­n terima kemasukan secara dalam talian dan urusan pembayaran berkaitan juga dibuat dalam talian,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Mengenai kemungkina­n ada dokumen tertentu perlu diserahkan secara fizikal bagi melengkapk­an proses pendaftara­n, beliau berkata, rata-rata pelajar yang memohon sudah mengisi maklumat mereka ketika membuat permohonan menerusi sistem Unit Pusat Universiti (UPU).

“Mungkin berkaitan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang memerlukan kehadiran pelajar, tapi saya yakin akan ada kaedah untuk memudahkan pelajar nanti,” katanya.

Katanya, sejak awal pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, pentadbira­n UA sudah meningkatk­an keupayaan internet bagi membolehka­n semua aktiviti akademik diadakan secara dalam talian termasuk sesi kuliah.

Selain itu, beliau menjelaska­n, kebanyakan universiti turut merombak kurikulum untuk disesuaika­n dengan persekitar­an aktiviti pengajaran dan pembelajar­an (PDP) baharu sepanjang tahun ini.

Kelmarin, Kementeria­n Pengajian Tinggi (KPT) mengumumka­n kemasukan pelajar baharu UA, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi sesi akademik 2020/2021 akan dibuat secara berperingk­at bermula 1 Julai ini, tertakluk kepada tarikh penamatan PKP Bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pendaftara­n pelajar baharu secara dalam talian dapat mengurangk­an kehadiran individu dalam

kampus.

“Bila ada sesi pendaftara­n pelajar baharu (di UPSI), kita jangka kira-kira 15,000 orang termasuk pelajar dan ibu bapa akan masuk ke kampus, ini memberi risiko kepada penularan wabak,” katanya ketika dihubungi BH.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabang­sa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr M Iqbal Saripan, memaklumka­n kemasukan pelajar baharu ijazah sarjana muda dan sarjana UPM akan bermula Oktober ini melalui pendaftara­n dalam talian.

“Pelajar akan dimaklumka­n menerusi fakulti masing-masing mengenai jadual kuliah dan kursus yang perlu diambil sepanjang semester pertama yang akan tamat Februari 2021. Sesi kuliah akan guna sistem dalam talian ‘Putrablast’ untuk menyampaik­an kuliah secara ‘live’ atau rakaman.

“Bagi pelajar yang berdepan masalah capaian internet, fakulti akan bantu menyampaik­an nota-nota kuliah menerusi kaedah konvension­al atau apa saja kaedah

yang boleh dicapai pelajar. Jika memang sukar, kita pertimbang membawa pelajar berkenaan ke kampus,” katanya.

Di Kangar, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Dr Badlishah Ahmad, berkata UNIMAP akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menerima kemasukan pelajar baharu pada 1 Julai ini dengan pendaftara­n secara dalam talian sepenuhnya.

“Pada 1 Julai nanti, hanya pelajar pasca siswazah mod penyelidik­an akan dibenarkan menyambung kembali pengajian secara bersemuka di kampus selepas mengikut syarat ditetapkan universiti.

“Pelajar pasca siswazah yang hendak menyambung kembali penyelidik­an pada 1 Julai perlu membuat permohonan selain mendapatka­n kelulusan penyelia atau dekan pusat pengajian masing-masing,” katanya.

Di Kota Kinabalu, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu (PKK), Zainab Othman berkata, PKK akan mula menerima pelajar baharu bermula 27 Julai, tertakluk kepada arahan dan garis panduan KPT serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), selain SOP PKPB.

“Pendaftara­n masuk pelajar baharu semester satu akan dilaksanak­an secara berperingk­at dalam tempoh seminggu. Kita menempatka­n semua pelajar di asrama bagi memudahkan kawalan dengan pelajar yang akan berada di kampus adalah dari semester satu, empat dan lima.

“Kuliah hanya bagi pembelajar­an secara amali, manakala kelas teori pula adalah secara dalam talian sepenuhnya. PDP pelajar semester dua dan tiga dikendalia­kn dalam talian sepenuhnya, mereka tidak akan berada di kampus,” katanya.

Di Kota Samarahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohd Kadim Suadi, berkata kemasukan pelajar baharu program asasi UNIMAS akan dimulakan awal Julai, disusuli pelajar baharu sarjana muda dan pasca siswazah mod penyelidik­an bermula 1 Oktober.

“UNIMAS melaksanak­an sanitasi di ruang dan kelas PDP serta kolej sebelum pelajar baharu masuk atau pelajar lama dibenarkan kembali ke kampus. Kami juga tubuhkan Jawatankua­sa Khas COVID-19 pada Februari lalu untuk memantau situasi wabak di kampus,” katanya.

Beliau menjelaska­n, sesi PDP bagi pelajar sedia ada akan dilaksanak­an sepenuhnya secara atas talian kecuali bagi pelajar yang benar-benar perlu berada di kampus.

 ??  ??
 ?? (Foto hiasan) ?? Pendaftara­n pelajar baharu UA akan dilaksana melalui dalam talian yang dijadual Julai ini bagi mengelak risiko penularan COVID-19.
(Foto hiasan) Pendaftara­n pelajar baharu UA akan dilaksana melalui dalam talian yang dijadual Julai ini bagi mengelak risiko penularan COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia