Berita Harian

Penjawat awam mengaku salah palsukan dokumen rentas negeri didenda RM1,800

Lelaki mengaku salah palsukan dokumen kebenaran merentas negeri

- Oleh Zuliaty Zulkiffli bhnews@bh.com.my

Alor Setar: Seorang penjawat awam didenda RM1,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas kesalahan memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri ketika diperiksa polis pada Isnin lalu.

Mohd Norhisham Ismail, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Dia yang bekerja sebagai penolong pegawai teknologi maklumat di Putrajaya didakwa mengikut Seksyen 177 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen.

Tertuduh sepatutnya pulang ke Putrajaya pada 17 Mei lalu, namun dipercayai menukar tarikh pada surat kebenaran merentas negeri ke tarikh 26 Mei bagi membolehka­nnya tinggal lebih lama di kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Mohd Norhisham memberi alasan pulang ke negeri ini untuk menghantar ubat kepada bapanya di Pendang.

Tertuduh dikesan melakukan kesalahan itu ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran merentas negeri dari Pendang ke Putrajaya.

Sebelum menerima permohonan­nya, pihak polis meminta lelaki terbabit mengemukak­an surat kebenaran merentas negeri dari Putrajaya dan kemudian mengesyaki sesuatu mencurigak­an pada surat berkenaan.

Anggota polis menghubung­i pihak yang mengeluark­an surat kebenaran di Putrajaya sebelum mendapati ada tarikh yang berbeza dan mengesahka­n individu itu sepatutnya pulang ke pusat pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n pada 17 Mei lalu.

Berikutan itu, Mohd Norhisham dan isterinya tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superinten­dan Elias Omar berkata, ia kes pertama membabitka­n pemalsuan dokumen untuk merentas negeri di Kedah.

 ??  ??
 ?? (Foto Zuliaty Zulkiffli/bh) ?? Mohd Norhisham (tengah) dibawa polis ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.
(Foto Zuliaty Zulkiffli/bh) Mohd Norhisham (tengah) dibawa polis ke Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia