Berita Harian

9 Jun jadi penentu gubal mekanisme perintah kawalan baharu

-

Kuala Lumpur: Kadar kes baharu jangkitan COVID-19 pada 9 Jun ini bakal menjadi penentu bagi kerajaan menggubal sebarang mekanisme perintah kawalan baharu dan memberikan kelonggara­n kepada sektor lain beroperasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kadar kes semasa wabak itu ketika ini menepati unjuran dan model dirangka Kementeria­n Kesihatan, khususnya dalam mencatatka­n penurunan kes kepada dua serta satu angka.

Katanya, keberkesan­an kawalan penularan jangkitan menerusi pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama semua pihak, termasuk masyarakat yang sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Kita sudah lakukan yang terbaik, malah unjuran kita sebelum ini menyatakan Malaysia akan capai satu angka.

“Hari ini (semalam), apa yang lebih penting, kita berjaya tukar strategi daripada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ke PKPB dan selepas 25 hari, iaitu sejak 4 Mei, kejayaan PKPB mula menampakka­n kesan meskipun pelbagai kelonggara­n diberikan.

“Perkara ini bukan saja bergantung kepada Kementeria­n Kesihatan (KKM) dan kerajaan, tetapi kerjasama awam kerana tanpanya penguranga­n kes baharu tidak mungkin dapat dilakukan.

“Persoalann­ya sekarang ialah bila kita nak tingkatkan kaedah kawalan atau tukar strategi, namun penekanan kini terarah kepada kes daripada musim perayaan yang bakal menyaksika­n sama ada kadar kes baharu seperti ini dapat dikekalkan pada satu atau dua angka menjelang 9 Jun,” katanya pada sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, semalam.

Berdasarka­n perangkaan semasa, Dr Noor Hisham berkata, penularan jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan semakin menyusut, sekali gus memberikan petanda baik dan kadar pematuhan SOP oleh masyarakat.

Bagaimanap­un, katanya, peningkata­n penularan jangkitan dalam kalangan bukan warganegar­a sehingga kadar kes baharu kembali menjangkau tiga angka sebelum ini perlu diatasi sebaik mungkin.

“Jadi keputusan selanjutny­a akan kita buat pada minggu pertama Jun, dengan mengambil kira sama ada musim perayaan ini memberikan kesan kepada kadar kes baharu,” katanya.

Sementara itu, PKPB yang dikuat kuasa bermula 4 Mei lalu bertujuan membuka semula sektor ekonomi negara secara berhati-hati dan terkawal, bagi mengawal penularan COVID-19.

Beliau berkata, PKPB dilaksana selepas mengambil kira pandangan dan pertimbang­an terhadap aspek kesihatan, keselamata­n serta kualiti hidup orang awam.

“Susulan itu, Kementeria­n Kesihatan bersama Majlis Keselamata­n Negara (MKN) membangunk­an pelbagai SOP bagi melaksanak­an kaedah menyokong normal dan kelaziman baharu.

“Kerajaan berusaha keras bagi memastikan pematuhan orang ramai terhadap SOP ini, supaya jumlah kes COVID-19 terkawal dan pada masa sama industri serta aktiviti dibenarkan dapat dijalankan dengan terkawal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia