Berita Harian

MEF minta timbang semula pindaan Akta 446

-

Kuala Lumpur: Persekutua­n Majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan menimbang semula pelaksanaa­n pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 yang akan berkuat kuasa Isnin ini.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, berkata majikan ketika ini berdepan situasi getir akibat penularan COVID-19.

“Saya berasakan kerajaan tidak sepatutnya menambah beban majikan pada masa ini kerana mereka berdepan pelbagai masalah.

“Jika akta ini dikuatkuas­akan, majikan akan lebih tertekan kerana terpaksa menanggung lebih banyak kos berkaitan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam satu kenyataan kelmarin berkata, kerajaan akan menguat kuasa pindaan terhadap Akta 446 bermula 1 Jun ini bagi mencegah penularan COVID-19, dalam kalangan pekerja asing membabitka­n semua sektor.

Beliau berkata, pindaan Akta 446 yang terpakai di seluruh Semenanjun­g dan Wilayah Persekutua­n Labuan akan hanya dilaksanak­an sepenuhnya pada 1 September ini, bagi memberi penangguha­n kepada majikan untuk membuat persediaan sewajarnya.

Pindaan itu bagi menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjun­g Malaysia membabitka­n standard ruang minimum kediaman, kemudahan asas bagi rumah dan pekerja serta elemen keselamata­n dan kebersihan yang perlu dititikber­atkan majikan.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, kerajaan seharusnya membimbing majikan dan pekerja bagi membendung penularan COVID-19, berbanding melaksanak­an pindaan akta berkenaan.

“Banyak lagi cara yang boleh dilakukan kerajaan seperti penjarakan sosial dan menjaga kebersihan di penginapan pekerja seperti yang disarankan Kementeria­n Kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendapa­t majikan sudah diberi tempoh mencukupi bagi menyediaka­n penginapan yang mematuhi garis panduan selaras dengan pindaan Akta 446.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata kerajaan tidak seharusnya memberi masa sehingga 1 September ini untuk majikan berbuat demikian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia