Berita Harian

Sebak lihat tiga keranda di ruang tamu rumah

Bapa tidak berdaya bawa jenazah anak ke tanah perkuburan

- Oleh Zaid Salim bhnews@bh.com.my

Kuala Berang: “Apabila besar nanti, kami nak tolong ayah”. Itulah perkataan yang sering diucapkan tiga beradik, Umar Iskandar, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16, kepada bapa mereka, Mohd Ismail, 64, setiap kali mahu pulang ke asrama.

Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang itu berkata, tiga anaknya yang lemas di Sungai Terengganu yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Kuala Telemong, jam 6.30 petang kelmarin, menjadi harapan keluarga, malah mereka anak yang baik serta bertanggun­gjawab terhadap keluarga.

Katanya, Umar Iskandar yang belajar di Universiti Malaya (UM) bercita-cita menjadi pakar Matematik dan Khalif Naim, yang belajar di Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Berang mahu menjadi kadi, manakala Khairil Firdaus tidak pernah berkongsi cita-cita, namun percaya berdasarka­n kecemerlan­gan mereka di sekolah.

“Saya nampak kesungguha­n mereka belajar dan saya selalu mengingatk­an mereka supaya belajar bersungguh-sungguh kerana kita orang susah,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van jenazah dan pengurusan masjid di kampung berkenaan sejak menamatkan perkhidmat­an dengan TNB empat tahun lalu.

Mohd berkata, dia sebak apabila melihat tiga keranda di ruang tamu rumah dan tidak berupaya untuk membawa sendiri jenazah anak ke tanah perkuburan.

“Sejak bekerja membawa kenderaan jenazah dan sudah menghantar hampir 40 jenazah ke tanah perkuburan, namun kali ini saya tidak berdaya untuk berbuat demikian. Semangat saya menjadi lemah,” katanya.

Katanya, dia reda dengan pemergian mengejut ketiga-tiga anak lelakinya itu dan bersyukur kerana usaha pasukan keselamata­n mencari mayat ketiga-tiga mereka selesai dalam masa singkat.

“Saya reda kerana orang kata mati lemas jadi syahid dan hadiah untuk mak ayah.

“Di sebalik yang buruk ada baiknya,” katanya.

Justeru, dia berterima kasih kepada semua pihak yang sudi memberi bantuan kewangan dan semangat serta pasukan keselamata­n yang bertungkus lumus sepanjang operasi.

Jenazah tiga beradik itu tiba di pekarangan rumah keluargany­a pada jam 4 petang semalam dan disembahya­ngkan di rumah keluarga sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang, iaitu berhampira­n pusara ibu mereka.

Sementara itu, abang mangsa, Amirul Aizam, 29, yang bekerja di Bukit Naning, Muar, Johor, berkata ketika membuat panggilan video pada pagi Aidilfitri lalu, ketiga-tiga adiknya itu kelihatan gembira berbanding sambutan raya sebelum ini.

“Walaupun mereka sambut raya dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi tiga adik saya kelihatan sangat gembira.

“Disebabkan saya beraya sendirian di Muar kerana tidak dapat pulang ke kampung, saya hanya dapat bercakap dengan mereka menerusi panggilan video.

“Saya tidak menyangka keceriaan mereka itu petanda mereka akan pergi selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas membuat pengecaman ketiga-tiga mayat adiknya, semalam.

Amirul Aizam berkata, dia reda dengan kejadian menimpa keluargany­a dalam suasana hari raya.

 ?? (Foto Ghazali Kori/bh) ?? Penduduk dan ahli keluarga terdekat membantu mengebumik­an jenazah tiga beradik, Umar Iskandar, Khairil Firdaus dan Khalif Naim di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang, semalam.
(Foto Ghazali Kori/bh) Penduduk dan ahli keluarga terdekat membantu mengebumik­an jenazah tiga beradik, Umar Iskandar, Khairil Firdaus dan Khalif Naim di Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung, Marang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia