Berita Harian

Guru redah arus selamat 4 remaja hampir lemas

Kereta dinaiki mangsa terbabas ke dalam tali air

- Oleh Noor Hidayah Tanzizi bhnews@bh.com.my

Kampung Gajah: “Saya terkejut dan sudah menjangka pasti ada musibah berlaku kepada remaja perempuan yang dalam keadaan basah kuyup yang cuba menahan kereta saya untuk meminta bantuan,” kata guru, Muhammad Nor Imran Maula Abd Jalil, 31.

Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadia­h Parit 25 Baroh Tanjung Bayan, Hutan Melintang itu individu yang menyelamat­kan empat remaja perempuan berusia 18 tahun yang hampir lemas dan dihanyutka­n arus.

Kereta mereka dinaiki bersama seorang lagi rakan hilang kawalan, sebelum terbabas ke dalam tali air di Kampung Teluk Sena, Kampung Gajah dekat Bota, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah hari kelmarin itu, seorang mangsa berjaya menyelamat­kan diri dan meminta bantuan dengan menahan kereta yang dipandu Muhammad Nor Imran.

Muhammad Nor Imran berkata, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke Hutan Melintang dan terkejut melihat seorang remaja perempuan dalam keadaan basah kuyup dan cemas menahan keretanya.

“Melihat keadaan dirinya, saya sudah dapat mengagak pasti ada musibah yang berlaku dan terus berhenti, sebelum dimaklumka­n kejadian itu.

“Tanpa berfikir panjang saya terus ke tepi tebing dan melihat dua mangsa sudah dibawa arus agak jauh, malah seorang sudah tidak sedarkan diri, manakala dua lagi sedang berpaut pada kayu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, tanpa berlengah dia terus terjun ke dalam tali air dan menyelamat­kan dua remaja perempuan yang sedang bergelut dengan arus, sebelum berenang semula untuk menyelamat­kan dua lagi rakan mereka.

“Air di tali air itu dalam dan ketika itu juga arus agak kuat. Tidak lama selepas itu ada pasangan suami isteri turut membantu memberi bantuan penafasan kepada mangsa.

“Ketika itu, saya memang tak fikir panjang. Hanya ingat nyawa mangsa sahaja dan mahu segera menyelamat­kan mereka. Malah, penat berenang juga tidak terasa ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, selepas semua mangsa berjaya diselamatk­an dan berada di tebing, baru dia terasa penat namun mengakui penatnya berbaloi melihat lima remaja itu dalam keadaan selamat.

“Semua mangsa kelihatan penat dan trauma. Namun, saya bersyukur mereka semua selamat serta dapat membantu kerana jarak tebing dengan jalan agak tinggi dan menyukarka­n pengguna jalan raya perasan kejadian itu.

“Biarpun saya tidak mengenali mereka, sudah menjadi tangungjaw­ab untuk membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya yang memaklumka­n semua mangsa sudah dibawa ke hospital oleh keluarga masingmasi­ng.

Video guru Kelas al-quran dan Fardu Ain (KAFA) itu yang menyelamat­kan mangsa terbabit tular di laman sosial.

 ?? (Foto ihsan pembaca) ?? Empat remaja perempuan berdepan detik cemas apabila hampir lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam tali air. Gambar kecil, Muhammad Nor Imran.
(Foto ihsan pembaca) Empat remaja perempuan berdepan detik cemas apabila hampir lemas selepas kereta dinaiki terjunam ke dalam tali air. Gambar kecil, Muhammad Nor Imran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia