Berita Harian

DBKL tutup Taman Tasik Titiwangsa

Kawasan luas sukarkan aspek kawalan, ada pengunjung langgar SOP

- Oleh Nor Azizah Mokhtar dan Luqman Arif Abdul Karim bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kawasan riadah yang terkenal di ibu negara, Taman Tasik Titiwangsa, di sini ditutup sepenuhnya kepada kunjungan awam, berkuat kuasa semalam.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaska­n langkah penutupan segera itu diambil apabila pemantauan sebelum ini mendapati wujud pelanggara­n prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung.

Sehubungan itu, katanya, percaturan sedemikian diambil bagi mengelakka­n penularan wabak COVID-19 menerusi kehadiran pengunjung yang ramai di taman berkenaan, sejak ia kembali dibuka untuk aktiviti senaman selari pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu.

“Terlalu ramai orang yang hadir ke taman berkenaan, malah kawasannya yang begitu luas dan terbuka menyukarka­n aspek kawalan dan pengurusan awam. Kita juga dapati ada yang ‘bersidai’ di taman selepas tiba di kawasan berkenaan menaiki hampir empat hingga lima kereta.

“Oleh itu, kita ambil keputusan untuk tutup taman ini sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan kemudian, selain mengikut saranan Kementeria­n Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Jurucakap DBKL mengakui aspek kawalan pengunjung ke taman itu sejak ia mula dibuka semula selari pelaksanaa­n PKPB sebelum ini, adalah tidak tegas menyebabka­n pengurusan keluar masuk pengunjung ke taman berkenaan dan keperluan melakukan saringan kesihatan tidak berupaya dilakukan.

“Disebabkan perkara ini dan bagi mengelak situasi bertukar buruk, kita tutup dahulu taman rekreasi dan riadah di Kuala Lumpur ini daripada kunjungan awam. Bagaimanap­un, aktiviti senaman dan larian masih dibenarkan di luar atau sekeliling taman,” katanya.

Sementara itu Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata DBKL terus menjalanka­n pemantauan bagi memastikan semua peniaga dan pemilik premis perniagaan di ibu negara dan pinggir bandar raya mematuhi SOP PKPB.

Katanya, pihaknya masih belum berpuas hati dengan kadar pematuhan yang ditunjukka­n peniaga dan pemilik premis perniagaan dalam mematuhi SOP ditetapkan.

“Masih ada segelintir yang belum dapat mematuhi SOP yang ditetapkan sepenuhnya, namun kita akan terus menjalanka­n pemantauan dan penguatkua­saan untuk memastikan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Buat masa ini kebanyakan yang ingkar kita berikan nasihat dan amaran, namun jumlahnya yang ingkar itu hanya sebilangan kecil, rata-rata peniaga mematuhi SOP ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n aplikasi Klstep, di sini, semalam.

Nor Hisham berkata, menerusi pemantauan dijalankan, pihaknya mendapati masih ada yang gagal menjaga penjarakan sosial terutama dalam kalangan pelanggan.

“Kita masih tidak berpuas hati berhubung keingkaran orang ramai mematuhi arahan penjarakan sosial. Masih ada yang berebut-rebut ketika membeli ayam, daging dan sebagainya namun ia berlaku di lokasi tertentu sahaja,” kata beliau.

Nor Hisham berkata, kebanyakan peniaga mematuhi SOP dengan memastikan pelanggan mematuhi jarak sosial, memakai pelitup separuh muka serta menyediaka­n cecair pembasmi kuman selain mengambil butiran pelanggan.

Nor Hisham Ahmad Dahlan

 ?? (Foto hiasan) ?? Keengganan pengunjung mematuhi SOP, semalam. memaksa DBKL menutup Taman Tasik Titiwangsa berkuat kuasa
(Foto hiasan) Keengganan pengunjung mematuhi SOP, semalam. memaksa DBKL menutup Taman Tasik Titiwangsa berkuat kuasa
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia