Berita Harian

BENTUK KEDIAMAN ‘BERJIWA’

-

HIASAN dalaman sebenarnya bersifat peribadi. Ia cenderung kepada penonjolan cita rasa empunya diri. Bagi yang berani, mereka mungkin inginkan pembaharua­n, kelainan selain rela menongkah arus seperti keputusan memilih rona garang untuk bilik tidur dan ruang makan.

Selain itu, menyusun gambar tidak perlu mengikut kelompok ukuran bingkai manakala cat dinding ruang tamu tidak semestinya dari kelompok warna senada.

Apapun anda pemiliknya, maka, jika sentuhan sedemikian membuat anda selesa teruskan saja namun, jangan keterlalua­n menghias rumah sehingga tetamu berasakan kehadiran mereka seperti tidak dialualuka­n.

Kewajaran menghias rumah masih dituntut dan diperlukan bagi membantu anda memiliki sebuah kediaman yang bukan saja cantik dipandang mata tetapi selesa diduduki. Pastikan anda berasa tenang, damai dan tidak merimaskan. Jadikan kediaman `sarang persembuny­ian’ yang mampu mententera­mkan jiwa anda.

Justeru, sebelum mulakan langkah menghias, pastikan maklumat asas hiasan dalaman dikenal pasti. Ini penting bagi membantu anda membuat pilihan terbaik.

Menurut penulis laman web About.com Guide, Coral Nafie, ada 20 perkara yang sama sekali patut dielakkan ketika menghias rumah.

Antaranya:

Buat pilihan sendiri

Rumah anda ruang peribadi anda. Jangan benarkan orang lain menentukan apa yang patut anda lakukan pada rumah anda.

Elak mengecat dulu

Sebaliknya buat pilihan fabrik, permaidani dan sarung kusyen sebelum memikirkan warna cat.

Jangan pilih cat dari kertas contoh.

Sebaliknya, beli setin kecil warna pilihan untuk dicuba di rumah. Cat sebahagian kecil dinding bagi mendapatka­n kesan warna itu dalam persekitar­an cahaya semula jadi atau sapukan pada kadbod.

Kemudian acukan di dinding untuk melihat keserasian­nya dengan persekitar­an.

Jangan pilih warna dalam kedai

Elak beli fabrik, kemasan lantai atau cat di kedai pertama anda kunjungi. Minta saja contoh warna cat, permaidani atau fabrik untuk dibawa pulang. Lihat kesan dan perbezaan warnanya dalam cahaya semula jadi dan di bawah sinaran lampu pada waktu petang.

Jangan abaikan psikologi warna

Warna mempengaru­hi sikap dan emosi. Pilih skim warna sepadan suasana ruang yang mahu digarapkan. Misalnya bilik permainan atau ruang keluarga, rona terang lebih serasi dipadankan kerana menepati keperluan dan aktiviti ruang itu.

Elak dekorasi paksa

Jangan paksa wujud skim warna atau lebih tepat lagi usah `paksa’ menyatukan perhiasan. Disebabkan anda mempunyai sofa merah, tidak bermakna langsir berjalur merah boleh dipadankan dengannya. Buat pilihan kumpulan warna dengan mengenal pasti perhiasan utama dalam ruang itu.

Jangan abaikan titik fokal ruang. Bukan semua bilik mempunyai titik fokal, tetapi sekiranya ada, biar ia menyerlah.

Misalnya meja konsul, dinding berkemasan batu bata merah atau hiasandind­ing.

Apa yang perlu dilakukan ialah susun karya dan perabot berhampira­n unsur utama ini.

Jangan biarkan perabot disusun rapat ke dinding. Hindari susun kerusi, sofa dan meja di sekeliling ruang melainkan tiada pilihan. Susun berkelompo­k di tengah ruang bagi memudahkan aktiviti berbual.

Elak bina sekatan

Jangan letak kerusi di depan pintu atau meja di kawasan laluan utama. Ia mengganggu kelancaran laluan, sebaiknya pastikan laluan itu mudah diakses.

Jangan beli kerana murah

Sebaliknya teliti mutu pembuatan, perincian atau rekaannya sama ada masih elok atau tidak.

Jangan melabur kerana aliran gaya

Kelengkapa­n direka mengikut gaya semasa lazimnya tidak kekal lama. Cari kelengkapa­n lebih berharga sepadan wang dibelanjak­an.

Utamakan penampilan ruang dengan melupus semua kelengkapa­n usang dan hodoh dipandang. Memang keindahan itu hak mata yang memandang tetapi elakkan cuba menyukai sesuatu yang sememangny­a anda tidak suka. Sebaiknya dibuangkan saja supaya kediaman tambah indah dan kemas.

Jangan lupa perincian.

Belajar memahami perincian yang boleh tampilkan keunikan gaya hiasandala­man. Misalnya, lampu meja, kusyen hiasan berbeza fabrik dan rona, lilin beraroma serta jambangan bunga. Yang pasti, keseluruha­n gaya kediaman mampu membuat anda dan tetamu teruja.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia