Berita Harian

Pembudayaa­n amalan bermaafan asas kekukuhan persaudara­an

- Dr Muhamad Razak Idris

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM dan Setiausaha Nadwah Ilmuwan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Walaupun umat Islam berada di tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia tidak harus menghalang mereka mengambil kesempatan untuk bermaafan dengan sanak-saudara dan rakan-taulan.

Islam mempunyai kaedah akhlak bagi memastikan hubungan baik sesama insan sentiasa damai dan sejahtera. Ibarat bidalan bumi mana tidak ditimpa hujan, manusia pasti terdedah kepada kesalahan sama ada tutur kata dan perbuatan sepanjang pergaulan dan persahabat­an.

Kesalahan disengajak­an atau tidak, hendaklah diakui kesilapan. Kita hendaklah memohon kemaafan terhadap keterlanju­ran yang dilakukan. Maafmemaaf­kan antara akhlak Islam yang amat mulia dan mesti dibudayaka­n dalam kehidupan umat Islam.

Seruan umat Islam menjadi pemaaf dizahirkan dalam alquran seperti firman Allah SWT: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan setimpal, tetapi sesiapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhn­ya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Asy-syura: 40).

Rasulullah SAW menunjukka­n sifat pemaaf tinggi sepanjang sirah Baginda. Kisah dakwah Nabi Muhammad SAW di Taif pada era perkembang­an agama Islam ialah mercu tertinggi tingkat kemaafan. Baginda memaafkan perbuatan sebahagian masyarakat Taif yang menolak seruan Islam dan mengasari Baginda dengan kekerasan.

Banyak lagi kisah Baginda dilayani secara tidak terhormat sepanjang sirah dakwah, tetapi tetap bersabar dan mengutamak­an kemaafan. Akhlak mulia ditunjukka­n Nabi Muhammad SAW hendaklah menjadi teladan terbaik kepada umat Islam hari ini dalam menerapkan amalan bermaafan sesama mereka.

Pada era moden kini, amalan bermaafan sesama umat Islam bertambah mudah. Kemudahan teknologi digital hendaklah dimanfaatk­an sepenuhnya bagi mengirimka­n ucapan kemaafan.

Kita gembira mendapati kebanyakan umat Islam menggunaka­n kaedah digital menghidupk­an amalan bermaafan sesama mereka dengan mengirimka­n pelbagai bentuk kad ucapan menerusi saluran media sosial. Kemeriahan ucapan selamat menyambut Aidilfitri disusuli kata-kata maaf zahir dan batin begitu terasa sekali sepanjang sambutan hari raya pada tahun ini. Keadaan ini juga didorong suasana PKPB pada musim COVID-19.

Selepas bermaafan, umat Islam hendaklah terus memelihara tutur kata, tulisan dan perbuatan yang boleh menyakiti orang lain menerusi media sosial.

Kita dapati dalam beberapa keadaan tertentu, masih ada dalam kalangan umat Islam yang tidak dapat mengawal diri dengan mengeluark­an kata kesat, mencaci malah menghina sesama sendiri apabila terdapat perbezaan pandangan dan pendapat dalam sesuatu isu dan persoalan dalam saluran media sosial.

Perbuatan itu ditegah dari sudut akhlak Islam dan hendaklah tidak diulangi. Sesiapa yang terlanjur, hendaklah menghentik­an perbuatan berkenaan dan memohon kemaafan.

Dalam tradisi akhlak Islam, berbeza pandangan dan pendapat diizinkan kerana ia fitrah kejadian insan. Namun, ia hendaklah tidak membawa kepada perbuatan keji-mengeji. Umat Islam hendak beradab dalam menyampaik­an ketidakset­ujuan dan perbezaan pada sesuatu pandangan serta memberikan teguran secara terhormat.

Akhlak bermaafan mempunyai kaitan dengan cita-cita besar keagamaan dalam konteks pembinaan tamadun insan. Umat Islam ialah umat terbaik yang mesti menunjukka­n teladan akhlak mulia terhadap bangsa dan umat lain.

Kepimpinan umat Islam di pentas sejarah bermula daripada keluhuran budi pekerti dan keutuhan hubungan sesama mereka. Umat Islam hendaklah menjadi perkumpula­n masyarakat kuat didasarkan prinsip ukhuwah atau persaudara­an utuh.

Umat Islam hendaklah sentiasa bermuafaka­t dan berganding bahu membina peradaban manusia terbaik hari ini.

Cita-cita besar ini tidak mungkin akan berjaya sekiranya umat Islam berada dalam keadaan saling bermusuhan dan benci-membenci. Perlakuan demikian ialah akhlak buruk yang mesti dijauhi. Ia akan melemahkan jati diri umat Islam dan menggagalk­an cita-cita pembinaan tamadun Islam unggul dan dihormati.

Apabila Islam menganjurk­an umatnya membudayak­an sikap bermaafan, ia didorong falsafah ketamaduna­n yang luas bertujuan membina asas hubungan kemanusiaa­n utuh dan jitu.

Pembudayaa­n amalan bermaafan ialah asas kerukunan persaudara­an Islamiah kukuh dan landasan membina umat memiliki daya dalaman rohaniah kuat bagi membolehka­n mereka berperanan secara teratur bagi membangun peradaban ummah seterusnya memastikan kesejahter­aan dunia yang aman dan saksama.

 ??  ?? PKPB tak halang kita bermaafan dengan sanak-saudara dan rakan-taulan.
PKPB tak halang kita bermaafan dengan sanak-saudara dan rakan-taulan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia