Berita Harian

Pastikan keyakinan pelabur kekal tinggi

Pembabitan semua agensi jadikan negara berdaya saing pasca COVID-19

- Oleh Mohd Zaky Zainuddin zaky@bh.com.my

Kerajaan akan memastikan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik kekal tinggi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pasca COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) adalah komponen penting kepada Malaysia dan sesuatu perlu dilaksanak­an kerajaan.

Justeru, katanya, Lembaga Pembanguna­n Pelaburan Malaysia (MIDA) dan beberapa agensi lain, termasuk Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE) bekerja keras dan tampil dengan strategi untuk memastikan pasaran Malaysia kekal berdaya saing.

“Kerajaan meneruskan pembabitan semua pihak, termasuk peserta industri untuk mengetahui permasalah­an dihadapi selepas kerajaan membuka semula ekonomi.

“Menerusi agensi berkaitan juga, kerajaan akan tampil dengan strategi pelaburan baharu dengan beberapa perubahan besar akan dilakukan. Pelan pelaburan jangka panjang diumumkan tiga atau empat bulan akan datang.

“Kerajaan mahu jadikan Malaysia kekal berdaya saing dan kukuh melepasi krisis kesihatan ini dengan sokongan semua pihak berkepenti­ngan,” katanya ketika menyampaik­an ucap tama webinar bertajuk ‘Membangunk­an perniagaan mendepani gangguan’ di Kuala Lumpur, semalam.

Turut serta, Pengerusi Le Nouveaupro, Prof Datuk Dr Wong Lai Sum; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktivi­ti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Mustapa berkata, persekitar­an perniagaan di Malaysia akan berdepan cabaran besar pasca COVID-19 selepas berdepan sesuatu yang tidak pernah berlaku.

“Kerajaan memerlukan pembabitan semua perniagaan. Fokus kini adalah untuk membawa ekonomi ke hadapan.

“Untuk tujuan ini, pendigital­an adalah elemen penting yang perlu diadaptasi oleh perniagaan di Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata, masalah wujud apabila peserta industri yang dibenarkan belum menjalanka­n perniagaan walaupun kerajaan sudah memberikan kebenaran.

“Kerajaan buka semula ekonomi mulai 4 Mei lalu tetapi syarikat agak lambat bertindak. Kami akan memantau secara harian perkara ini. Saya jangka mulai Isnin depan, lebih banyak syarikat kembali beroperasi. Mungkin mencecah 60 peratus.

“Kita akan cuba atasi beberapa isu utama membabitka­n prosedur operasi standard (SOP) termasuk rantaian bekalan dan masalah internet. Kerajaan perlu memperkasa­kan semua perkara ini,” katanya.

Kerajaan akan tampil dengan strategi pelaburan baharu dengan beberapa perubahan besar akan dilakukan.

Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia