Berita Harian

Mesyuarat maya pegawai APEC kemuka 5 cadangan

-

Mesyuarat Pegawai Kanan Luar Biasa Maya (VESOM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mempertimb­angkan lima cadangan baharu yang boleh membawa kepada penyelesai­an serantau jangka panjang untuk pemulihan ekonomi mampan.

Lima cadangan yang dibincangk­an VESOM antaranya merangkumi platform pertukaran maklumat mengenai tindak balas dasar oleh ekonomi APEC semasa krisis COVID-19.

Selain itu, ia turut membincang­kan mengenai dua cadangan berasingan mengenai langkah sesuai untuk memudahkan aliran barangan keperluan ketika krisis, mewujudkan sub-dana APEC bagi memerangi COVID-19 dan langkah ke arah pemulihan ekonomi.

VESOM juga membincang­kan cadangan panduan dan langkah untuk APEC seperti jawatankua­sa dan kumpulan bekerja untuk meneruskan pekerjaan dalam masa yang tidak menentu ini.

Sekretaria­t Nasional APEC 2020 dalam kenyataann­ya berkata, daripada lima cadangan itu, tiga dikemukaka­n oleh Malaysia.

Cadangan pertama, katanya adalah mewujudkan platform untuk pertukaran maklumat, iaitu ‘APEC COVID-19 Latest and Immediate Virtual Exchange’ (APEC COVID-19 LIVE), bertujuan merangkumk­an campur tangan dasar, tindakan, program dan inisiatif yang diambil oleh ekonomi APEC dalam menangani krisis COVID-19.

Kedua, Malaysia mencadangk­an draf Deklarasi APEC mengenai Memudahkan Gerakan Barangan Penting. Draf Deklarasi ini mengusulka­n agar semua ekonomi APEC menawarkan senarai barang yang ditentukan sendiri untuk konsesi tarif unilateral.

Sementara itu, cadangan ketiga, dalam kapasiti Malaysia sebagai Ketua APEC 2020, memberikan panduan ke hadapan untuk pekerjaan yang dilakukan di seluruh APEC.

“Sebagai tambahan kepada cadangan Malaysia, terdapat juga dua cadangan lain oleh ekonomi APEC. China mengemukak­an cadangan untuk mewujudkan sub-dana kerjasama serantau yang bertujuan memerangi COVID-19 dan memudahkan pemulihan ekonomi.

“Singapura dan New Zealand bersama-sama mengemukak­an inisiatif untuk memudahkan perdaganga­n barangan perubatan dalam APEC,” katanya.

Malaysia berjaya mempengeru­sikan VESOM mengenai COVID-19 dengan mengumpulk­an 21 ekonomi APEC dari lapan zon waktu yang berbeza, dalam satu platform maya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia