Berita Harian

MITI pikat pelabur dari Jepun

Malaysia kenal pasti syarikat mahu pindah operasi dari China

-

Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) sedang mengenal pasti syarikat Jepun yang berhasrat memindahka­n operasi mereka dari China untuk dijemput melabur di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia susulan langkah Kerajaan Jepun baru-baru ini yang mengumumka­n peruntukan untuk membawa keluar operasi syarikat negara itu dari China atau memindahka­nnya ke negara lain sebagai tindak balas terhadap kesan pandemik COVID-19.

“MITI akan berusaha meyakinkan pelabur dari Jepun untuk menggunaka­n Malaysia sebagai destinasi pelaburan baharu dan juga sebagai hab menembusi pasaran pada peringkat ASEAN.

“Dalam kalangan negara ASEAN, kita ada lebih 650 juta populasi dan saya percaya jika Malaysia dapat menyediaka­n prasarana terbaik, infrastruk­tur yang baik, politik yang stabil dan tenaga kerja yang berkemahir­an, kita boleh jadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan baharu bagi syarikat yang kini mencari tempat untuk meletakkan pelaburan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, dekat Alor Setar, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, tumpuan MITI juga terarah kepada syarikat yang menjalanka­n industri berteknolo­gi tinggi yang akan membuka peluang pekerjaan lebih baik kepada tenaga kerja tempatan.

“Sudah tentu kita tidak mahu industri yang bergantung kepada pekerja asing, kita mahu industri berteknolo­gi tinggi kerana ini akan memberi peluang kepada tenaga kerja kita khususnya anak-anak muda untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik dan mendapat hasil atau pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai pertemuann­ya dengan Muhammad Sanusi, beliau menjelaska­n antara lainnya kedua-duanya membincang­kan mengenai hala tuju pelaburan di Kedah, selain menentukan bagaimana industri pembuatan di negeri ini boleh beroperasi semula dengan kapasiti maksimum.

“Saya juga berbincang dengan menteri besar mengenai pembanguna­n Kedah kerana beberapa projek di negeri ini yang diputuskan sebelum ini, perlu diteruskan tertakluk kepada kedudukan kewangan negara,” katanya. BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia