Berita Harian

TNB guna kaedah prorata pengiraan bil elektrik, nafi kenakan caj berlebihan

Pelanggan dapat tahu jumlah sebenar, tiada caj berlebihan

- Oleh Hazwan Faisal Mohamad hazwanfais­al@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menggunaka­n kaedah prorata dalam pengiraan bil elektrik bagi membolehka­n pelanggann­ya mendapatka­n jumlah penggunaan sebenar, sekali gus memastikan tiada caj berlebihan dikenakan.

Ketua Pegawai Retail TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata sebagai contoh, pengguna yang menerima bil anggaran pada Mac, April dan Mei, akan menerima bil sebenar pada Jun.

Katanya, ini bermakna bagi tempoh empat bulan berkenaan, TNB akan menyelaras­kan bil elektrik terbabit.

Sebagai contoh, katanya, jika bacaan sebenar ialah 1,400 kilowatt per jam (kwh), jumlah itu adalah untuk tempoh empat bulan.

“Menerusi prorata, TNB akan membahagik­an jumlah penggunaan ini kepada empat bulan untuk mendapatka­n penggunaan sebulan.

“Jumlah yang akan diperoleh ialah 350 kwh untuk sebulan dan akan didarabkan dengan blok tarif sedia ada. Maka, jumlah penggunaan­nya RM102.80 dan untuk empat bulan ini ialah RM411.20.

“Kaedah yang kita gunakan ini tidak akan menyebabka­n pengguna dikenakan caj berlebihan dan sebagai perbanding­an, jika kita tidak menggunaka­n kaedah prorata, penggunaan amaun yang tertera dalam bil ialah RM681,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual di Selamat Pagi Malaysia dalam RTM 1 pagi semalam, bagi mengulas garis panduan baharu operasi TNB.

Megat Jalaluddin berkata, ada pelanggan yang salah faham beranggapa­n bacaan 1,400 kwh itu akan didarabkan dengan blok tarif sedia ada, sekali gus menyebabka­n jumlah bil menjadi lebih tinggi.

“Yang sebenarnya, kita menggunaka­n kaedah prorata dan kaedah ini menjamin tiada caj berlebihan akan dikenakan kepada pelanggan.

“Kaedah ini juga sudah disemak dan disahkan Suruhanjay­a Tenaga bagi memastikan jumlah bil adalah tepat,” katanya.

Mengenai bacaan penggunaan elektrik yang dianggarka­n lebih tinggi atau rendah daripada yang sebenar, Megat Jalaluddin berkata, pelanggan perlu menambah bayaran jika penggunaan sebenar adalah lebih atau TNB akan memulangka­n semula bayaran dalam bentuk kredit jika penggunaan adalah kurang.

Katanya, sekiranya bil anggaran yang kita keluarkan kurang daripada penggunaan sebenar, pengguna perlu menambah bayaran itu.

“Tetapi sebaliknya kita menganggar­kan lebih semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) namun bacaan sebenar adalah kurang, kita akan bagi kredit balik kepada akaun pelanggan.

“Banyak aduan kita terima yang mana pelanggan mengatakan mereka pulang ke kampung dan tersekat di sana. Jadi, mereka tiada di rumah semasa PKP tetapi tetap dikenakan bil kerana kita menggunaka­n bacaan anggaran mengikut bulan sebelumnya iaitu Februari.

“Namun, jangan risau, kita akan kreditkan semula dalam bil seterusnya selepas kita buat pelarasan,” katanya.

Kaedah yang kita gunakan ini tidak akan menyebabka­n pengguna dikenakan caj berlebihan dan sebagai perbanding­an, jika kita tidak menggunaka­n kaedah prorata, penggunaan amaun yang tertera dalam bil ialah RM681. Megat Jalaluddin Megat Hassan, Ketua Pegawai Retail TNB

(Foto sebenar Megat Jalaluddin Megat Hassan, bukan seperti disiarkan dalam muka surat 7 akhbar ini semalam Pengarang).

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia