Berita Harian

Terhenti bukan kena pecat

“Saya ingin tegaskan kelima-lima mereka tidak dipecat daripada parti, tetapi keahlian mereka terhenti kerana melanggar perlembaga­an parti. Ini berlandask­an perlembaga­an parti kerana kepentinga­n parti lebih utama daripada mana-mana individu.”

- Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BERSATU

Kuala Lumpur: Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat lagi Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak dipecat, tetapi keahlian mereka terhenti selepas melakukan tindakan yang bertentang­an dengan parti.

Menjelaska­n perkara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keadaan itu berlandask­an perlembaga­an parti kerana kepentinga­n parti adalah lebih utama daripada mana-mana individu.

Bercakap pada sidang media di Menara Yayasan Selangor, di sini semalam, beliau berkata, banyak aduan yang diterima mengenai salah laku mereka, antara lain Dr Mahathir mengumumka­n untuk kekal bersama Pakatan Harapan (PH) sebaik kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk.

“Dr Mahathir pada 4 Mei buat kenyataan bersama ketua-ketua parti PH mendesak supaya sidang Parlimen dilanjutka­n. Dr Mahathir juga kemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah dilantik dengan sahnya oleh YDPA (Yang di-pertuan Agong,” katanya.

Pada 18 Mei lalu, beliau berkata, Dr Mahathir mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya bersama beberapa pemimpin PH dengan membuat pengumuman untuk terus berusaha menjatuhka­n Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumka­n, keputusan untuk BERSATU keluar daripada PH sudah pun diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu pada 23 Februari yang dipengerus­ikan oleh Dr Mahathir sendiri.

“Pengumuman keputusan MPT diumumkan oleh Presiden sebagai Pemangku Pengerusi pada 24 Februari selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan (Pengerusi) pada hari yang sama.

“Sebagai Pemangku Pengerusi dan Presiden BERSATU, Muhyiddin sudah pun memberhent­ikan Senator Datuk Marzuki Yahya melalui notis yang bertarikh 18 Mac, berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Selanjutny­a pada 26 Mac, Hamzah berkata, Muhyiddin melantik beliau sebagai Setiausaha Agung baharu menggantik­an Marzuki, sekali gus semua arahan atau kenyataan dikeluarka­n Marzuki yang mendakwa masih Setiausaha Agung, adalah tidak sah serta satu salah guna kedudukan.

Selain Dr Mahathir, empat yang lain adalah bekas Timbalan Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Hamzah juga menegaskan, kelima-kelima pemimpin itu tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin sebelum tindakan dikenakan kerana keahlian mereka sudah tergugur seperti yang dimaklumka­n oleh Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

“Megat Najmuddin berpandang­an kelima-lima mereka tidak perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin kerana keahlian mereka sudah tergugur selaras Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 dalam perlembaga­an BERSATU.

Mendedahka­n situasi ketika Dr Mahathir mengumumka­n peletakan jawatan sebagai Pengerusi BERSATU, beliau berkata, semua pihak termasuk Muhyiddin terkejut kerana ia dilakukan tanpa perbincang­an.

Malah, ketika Yang di-pertuan Agong perlu memilih Perdana Menteri baharu pada Februari lalu, katanya, beliau dan pimpinan BERSATU lain bekerja keras memastikan Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri apabila namanya antara yang dicalonkan kepada Istana Negara.

“Namun, sejarah membuktika­n Dr Mahathir tidak mendapat sokongan. Bukan saya yang memecahbel­ahkan parti, tapi beliau yang letak jawatan dan tak dapat sokongan. Asalnya daripada 12 Ahli Parlimen BERSATU jadi 37 orang menyokong Dr Mahathir untuk terus memimpin negara.

“Begitu juga dengan tohmahan kononnya ini komplot oleh Muhyiddin, kasihan beliau. Allah pilih seorang Perdana Menteri yang mampu pimpin negara menggantik­an Dr Mahathir,” katanya.

Sementara itu, katanya, Dr Mahathir dan empat pemimpin yang terhenti keahlian mereka itu tidak lagi boleh bertanding pada pemilihan parti yang dijadualka­n Jun depan kerana bukan lagi ahli parti selepas keahlian mereka tergugur.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia