Berita Harian

Pelan pulih ekonomi jangka pendek kekalkan kerjasama

Inisiatif baharu turut diperkenal untuk perkasa KDNK negara

-

Kuala Lumpur: Pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat ini akan meneruskan kerjasama antara kerajaan dan swasta bagi memastikan pelaksanaa­nnya yang lebih lancar dan teratur.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, berkata semua kementeria­n sudah bertemu dengan pihak berkepenti­ngan bagi melihat kemungkina­n dan maklum balas untuk membolehka­n kerajaan membuat keputusan yang relevan bagi membantu pelbagai sektor.

“Pakej rangsangan bantuan PRIHATIN diumumkan sebelum ini yang sebahagian­nya mempunyai tempoh tamat tiga dan enam bulan, akan tamat tempohnya dalam jangka terdekat.

“Sementara pelan pemulihan yang bakal diumumkan akan melihat setengah pakej disambung dan beberapa inisiatif baharu diperkenal­kan untuk memperkasa ekonomi.

“Apa yang penting adalah kita perlu tangkas dan dinamik kerana masa sangat pantas berlalu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke ibu pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN), di sini, semalam.

Tengku Zafrul berkata, pakej rangsangan prihatin diperkenal­kan bertujuan untuk membantu individu, perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan mikro yang terjejas akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuas­akan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Susulan daripada pelaksanaa­n PKP itu, katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup kepada 0.7 peratus pada suku pertama dan dijangka terus turun ke angka negatif pada suku kedua.

Menurutnya, dengan kebanyakan perniagaan dan industri kini sudah memulakan semula operasi beliau berharap KDNK pada suku ketiga dan keempat akan bertambah baik, namun ia bergantung kepada sepantas mana Malaysia boleh mengawal penularan pandemik itu dan juga manfaat daripada insentif kerajaan dan bank.

“Secepat mana ekonomi kita boleh pulih semula akan bergantung kepada sepantas mana kita menangani COVID-19. Terdapat keseimbang­an antara kehidupan dan mata pencarian. Kita membukakan ekonomi secara berperingk­at dan dengan cara itu, kita memastikan kehidupan rakyat dilindungi terlebih dahulu.

“Daripada kaji selidik selepas pembukaan ekonomi secara berperingk­at pada 4 Mei, seramai enam juta pekerja kembali bekerja selepas seminggu dan meningkat kepada 10.2 juta seminggu kemudian, iaitu 67 peratus daripada jumlah 15 juta pekerja Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, terdapat empat isu utama dihadapi perniagaan yang perlu ditangani bagi membolehka­n mereka kembali berada di landasan iaitu masalah membayar gaji pekerja, aliran tunai bagi memulakan semula perniagaan, kadar sewa tinggi berbanding pendapatan rendah dan permintaan rendah terhadap produk dan perkhidmat­an selepas perniagaan dibuka semula.

Selain itu, katanya, keyakinan pengguna juga perlu dipulihkan selepas PKP bagi membantu meningkatk­an perbelanja­an dan permintaan.

“Dari segi psikologin­ya, orang ramai masih takut untuk keluar selepas PKP. Diharapkan dengan standard prosedur baik yang digariskan kerajaan dipatuhi oleh perniagaan yang akan memberikan keyakinan kepada pelanggan.

“Masalah permintaan benar-benar berlaku kerana ia menjejaska­n pertumbuha­n negara yang mana 60 peratus daripada pertumbuha­n kita adalah daripada penggunaan swasta,” katanya.

Bagaimanap­un, ada beberapa trend positif ketika PKP, iaitu peningkata­n mendadak penggunaan platform e-dagang, iaitu 80 peratus dan daripada jumlah itu 40 peratus adalah pengguna baharu.

Justeru, katanya, sudah sampai masanya bagi perniagaan menguasai dan menimbang menggunaka­n platform berkenaan.

Dalam perkembang­an berkaitan, sumber memberitah­u BH, draf pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan jangka sederhana sudah siap dan dijangka dibentangk­an dalam mesyuarat mingguan Kabinet Rabu depan.

Apa yang penting adalah kita perlu tangkas dan dinamik kerana masa sangat pantas berlalu.

Tengku Zafrul Tengku Aziz, Menteri Kewangan

Pelan bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil pasca COVID-19 itu perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum diumumkan.

Bagaimanap­un sumber itu berkata, tidak dapat dipastikan sama ada Muhyiddin yang kini menjalani kuarantin, dapat mempengeru­sikan mesyuarat itu, atau ia dijalankan secara maya.

“Kajian sedang giat dijalankan mengumpul cadangan daripada pihak berkepenti­ngan. Ia akan dirumuskan tidak lama lagi.

“Pelan pemulihan ini bagi memastikan negara tetap kukuh dan stabil dari segi kewangan, perniagaan, perdaganga­n, pekerjaan dan rakyat,” kata sumber lain.

Muhyiddin sebelum ini mengarahka­n Kementeria­n Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh.

Pelan pemulihan ini adalah langkah seterusnya selepas kerajaan mengumumka­n Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia