Berita Harian

Kaunter rayuan BPN dibuka hari ini, esok

-

Putrajaya: Kaunter permohonan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dibuka di semua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 30 dan 31 Mei ini, kecuali di Sabah dan Labuan kerana cuti umum Pesta Kaamatan.

Dalam kenyataan semalam, LHDN memaklumka­n kaunter rayuan itu beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang.

Bagi pemohon BPN di Sabah dan Labuan, kaunter permohonan rayuan BPN dilanjutka­n ke hari bekerja berikutnya iaitu pada 2 Jun.

“Pemohon yang permohonan atau rayuannya tidak diluluskan sebelum ini boleh mengemukak­an permohonan rayuan dengan hadir ke kaunter perkhidmat­an LHDN terdekat atau e-mel kepada rayuanbpn@hasil.gov.my berserta dokumen sokongan berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata kementeria­nnya menjangkak­an kelewatan pengeluara­n bantuan kewangan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak terjejas operasi mereka berikutan pandemik COVID-19, dapat diselesaik­an dalam tempoh dua bulan lagi.

Beliau mengakui ada PKS yang sudah diluluskan permohonan mereka tetapi belum menerima bantuan berikutan dokumentas­i pengeluara­n kewangan yang perlu disiapkan.

“Memang ada dalam sekitar 20 pemohon (di Sarawak) yang sudah diluluskan tetapi (bantuan kewangan) tidak dikeluarka­n lagi dan jumlah ini amat kecil berbanding yang sudah dikeluarka­n,” katanya kepada pemberita ketika melawat projek mendalamka­n parit di Kampung Tabuan Selipar Putus, di Kuching, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia