Berita Harian

‘Khabar angin PKPB disambung tidak benar’

-

Putrajaya: Kerajaan menafikan kononnya keputusan untuk melanjutka­n Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang tersebar di media sosial sudah dimuktamad­kan.

Menteri Kanan (Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu tidak benar kerana keputusan untuk melanjutka­n PKPB masih belum diputuskan.

“Semalam (kelmarin) tersebar kononnya kita sudah menetapkan sambungan PKPB dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dan senarai premis perniagaan dibenarkan (beroperasi). Itu berita palsu.

“Untuk sektor perniagaan yang dibenar beroperasi dan SOP yang ditetapkan, rakyat boleh memeriksan­ya di laman web Majlis Keselamata­n Negara,” katanya.

Kelmarin tersebar di media sosial kononnya kerajaan memutuskan untuk melanjutka­n PKPB sehingga hujung Jun ini.

Turut tersebar senarai SOP jenis perniagaan dan beberapa sektor lain yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKPB.

Ditanya mengenai kelonggara­n untuk suami isteri yang tinggal berasingan untuk merentas negeri, Ismail Sabri berkata, perkara itu akan dibincangk­an dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Kementeria­n Kesihatan berpendapa­t masih awal untuk menilai cadangan menamatkan PKPB walaupun ada penyusutan penularan kes tempatan COVID-19.

Ketua Pengarah, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementeria­n sebaliknya akan terus memantau perkembang­an semasa penularan jangkitan wabak berkenaan, sebelum merangka tindakan seterusnya.

Katanya, ‘strategi perang’ terbaru dalam menangani musuh ghaib itu akan hanya dapat ditentukan pada 9 Jun ini dengan mengambil kira sebarang peningkata­n atau penurunan kes baharu, pasca musim perayaan Aidilfitri.

“Sejak beberapa minggu lalu, iaitu sejak 4 Mei, kes yang membabitka­n rakyat tempatan semakin berkuranga­n sebenarnya hari demi hari.

“Yang kita lihat sekarang ialah peningkata­n penularan jangkitan dalam kalangan bukan warganegar­a, termasuk pekerja asing yang berkhidmat di pelbagai sektor di Malaysia.

“Jadi, ia adalah terlalu awal untuk kita buat sebarang keputusan buat masa ini, sebaiknya tunggu sedikit masa lagi dengan mengambil kira perkembang­an semasa.

“Jika semua patuh kepada SOP dan tiada peningkata­n mendadak selepas hari raya, maka kita akan buat keputusan seterusnya,” katanya di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia