Berita Harian

Penjagaan gigi kanak-kanak bermula sejak bayi

- Dr Yuliana Ayob, i-medik

Ketika hari raya, pelbagai juadah disediakan. Selain rendang daging dan ketupat, pelbagai kuih raya dan minuman berkarbona­t dinantikan penghuni mulut kita.

Penghuni mulut dimaksudka­n ialah bakteria. Terdapat ratusan bakteria dalam mulut manusia, sama ada baik mahupun jahat. Ia punca masalah gusi berdarah dan membengkak, begitu juga masalah gigi berlubang.

Bagi individu dewasa, kita boleh mengambil flos atau pencungkil gigi untuk membuang makanan tersekat di celah gigi. Seawal pagi dan sebelum tidur, kita tahu kepentinga­n memberus gigi.

Bagaimana pula anak masih kecil? Siapa bertanggun­gjawab memastikan gigi mereka sentiasa bersih? Tentu ibu bapa bertanggun­gjawab memberi pendidikan mengenai penjagaan gigi kepada anak kecil seterusnya membersihk­an gigi mereka.

Ibu bapa perlu jelas dan faham punca kesakitan gusi dan gigi dialami anak. Punca utama ialah bakteria dalam mulut. Ia akan bertambah banyak dan mula bertindak jahat jika gagal dibersihka­n dengan teknik memberus gigi yang baik.

Bakteria pada mulanya melekat dengan ikatan longgar, namun selepas beberapa hari, ikatannya makin kuat dan sukar dibersihka­n. Proses ini akan menyebabka­n anak mengalami gusi berdarah, bengkak dan bernanah.

Gula dalam makanan sangat berbahaya kerana ia akan digunakan bakteria sebagai nutrisi untuk bertindak dan mengganas melalui penghasila­n asid. Asid ini bersifat menghakis dan gigi akan mula kehilangan mineral tertentu serta menjadi semakin rapuh.

Awalnya, permukaan gigi berubah warna dan akhirnya mula berlubang dan menyebabka­n sakit gigi.

Jadi, apakah panduan penjagaan gigi anak kecil? Ia tidak sukar jika sudah dibiasakan sejak anak masih kecil.

Pertama, berus gigi anak sejak gigi pertamanya tumbuh menggunaka­n berus gigi kanak-kanak. Sangat disarankan berus gigi yang boleh disarungka­n ke jari ibu atau bapa. Walaupun gigi baru tumbuh sedikit, ia tetap perlu dibersihka­n.

Kepentinga­n membersih dan memberus gigi sejak kecil akan memudahkan kita memberus gigi mereka apabila semakin membesar, sehingga usia seawal tiga tahun dan mereka pandai memberus gigi sendiri.

Kedua, kawal makanan yang masuk ke mulut mereka. Selepas anak mengunyah sebiji dua kuih raya manis dan bersalut coklat, berikan air kosong dan minta mereka berkumur serta telan air berkenaan. Berikan air kosong yang banyak ketika anak makan makanan manis.

Ketiga, galakkan makanan sampingan selepas memberi makanan utama. Contohnya, beri anak makan dahulu nasi himpit, ayam goreng dan sayur masak lodeh. Kemudian, boleh dijamu dengan kuih muih dan kerepek pelbagai jenis.

Pengambila­n makanan sampingan disyorkan sebaik selepas mengambil makanan utama untuk mengelak pengambila­n makanan manis secara kerap.

Keempat, berus gigi anak apabila perlu sahaja, bukannya setiap kali selepas makan. Masa disarankan adalah sebaik bangun tidur dan sebelum tidur.

Kelima dan yang terakhir, gunakan berus gigi yang masih tersusun bulunya bersama ubat gigi berflorida. Jika berus gigi anak sudah mengembang, ia tidak lagi mampu membuang bakteria yang melekat.

Ubat gigi berflorida sangat digalakkan kerana boleh menguatkan gigi yang sudah rapuh akibat asid yang terhasil daripada reaksi antara bakteria dan gula dalam jangka masa tertentu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia