Berita Harian

227 pesakit dapat bantuan khas hilang pendapatan

NADMA dibantu KKM buat tapisan pastikan agihan Tabung COVID-19 lancar

-

Kuala Lumpur: Seramai 227 individu yang dirawat dan dikuaranti­n sudah menerima bantuan khas hilang pendapatan sebanyak RM100 sehari membabitka­n jumlah RM309,700 daripada Tabung COVID-19, setakat kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Mohamad Azhan Md Amir, berkata ada dalam kalangan pesakit berkenaan menjalani tempoh rawatan dan dikuaranti­n tidak sampai 14 hari.

“Jumlah pemberian bergantung kepada berapa hari mereka dikuaranti­n dan berdasarka­n laporan yang dikeluarka­n oleh Kementeria­n Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, NADMA menerima lebih 8,000 permohonan untuk bantuan khas itu sejak Tabung COVID-19 dilancarka­n 11 Mac lalu,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Tabung COVID-19 terbitan Bernama TV, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan tapisan dengan bantuan KKM untuk memastikan semua urusan pengagihan bantuan berjalan lancar, walaupun ada sedikit kekangan apabila terdapat maklumat yang diberikan pemohon tidak lengkap.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang ingin memohon bantuan itu supaya membaca dan memahami syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memastikan permohonan dapat diuruskan dengan cepat.

Beliau berkata, bantuan itu hanya dikhaskan kepada warga Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh kuarantin oleh KKM selama 14 hari serta mereka yang menjalani rawatan di wad hospital akibat COVID-19.

Tambahnya, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 juga sudah diserahkan kepada 87 waris mangsa yang terkorban kerana COVID-19, membabitka­n jumlah keseluruha­n RM435,000.

Sehingga semalam, Tabung COVID-19 mengumpulk­an sebanyak RM42.924 juta hasil pelbagai sumber, termasuk sumbangan awal kerajaan, institusi diraja, anggota pentadbira­n dari 25 kementeria­n, korporat serta individu.

Menyentuh mengenai isu penipuan dalam talian, Mohamad Azhan menasihati orang ramai sentiasa merujuk kepada laman web rasmi NADMA dan talian 03-88704800 bagi mendapatka­n maklumat terkini mengenai bantuan berkenaan. BERNAMA

Mohamad Azhan Md Amir

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia