Berita Harian

Lagi maut dirempuh pemandu mabuk

Pekerja syarikat kurier terbunuh, rakan parah motosikal kena langgar

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pekerja syarikat kurier maut, manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n hala ke ibu negara dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan, kedua-dua mangsa adalah rakan sekerja yang tinggal serumah dan mangsa meninggal dunia dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya.

Ketika kejadian, kedua-duanya baru habis bertugas dan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata hasil siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan melanggar motosikal mangsa yang berada di laluan motosikal.

“Pembonceng motosikal, lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal, lelaki berusia 30 tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke PPUM.

“Pemandu kereta adalah lelaki tempatan yang juga seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berusia 22 tahun. Bagaimanap­un dia tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Nik Ezanee berkata, siasatan mendapati pemandu berada di bawah pengaruh alkohol dan ujian mendapati paras alkohol di dalam tubuhnya tinggi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata pihaknya menerusi Op Alkohol akan memperheba­tkan lagi usaha mengekang dan membantera­s kesalahan membabitka­n pengguna jalan raya terutama mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol.

 ?? (Foto ihsan PDRM) ?? Kereta dipandu pelajar IPTS remuk selepas merempuh motosikal mangsa di laluan motosikal di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n, pagi semalam.
(Foto ihsan PDRM) Kereta dipandu pelajar IPTS remuk selepas merempuh motosikal mangsa di laluan motosikal di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n, pagi semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia