Berita Harian

Syor pinda akta pemandu di bawah pengaruh alkohol ke Parlimen

-

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi perhatian serius dan akan mengambil tindakan tegas berhubung kes kemalangan maut pengguna jalan raya membabitka­n pemandu mabuk yang semakin bertambah mutakhir ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, langkah segera yang akan diambil adalah memastikan cadangan pindaan Akta Pengangkut­an Jalan 1987 (Akta 333) yang dimuktamad­kan oleh Kementeria­n Pengangkut­an dibawa ke persidanga­n Parlimen terdekat.

Katanya antara pindaan yang dibuat bukan sahaja membabitka­n peruntukan berkaitan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabka­n kecederaan atau kematian iaitu Seksyen 44 (Akta 333), tetapi juga memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan mengikut Seksyen 45 akta sama walaupun tidak terbabit dalam kemalangan.

“Kerajaan juga amat menyokong cadangan Kementeria­n Pengangkut­an untuk menetapkan hukuman penjara mandatori terhadap pemandu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk (Seksyen 45) mengikut peruntukan sedia ada masih merupakan kuasa budi bicara mahkamah,” katanya dalam kenyataan semalam.

Takiyuddin berkata dengan meningkatk­an kadar denda dan hukuman penjara selepas pindaan dibuat, Jabatan Peguam Negara boleh mendakwa pesalah di Mahkamah Sesyen yang mempunyai bidang kuasa yang lebih tinggi.

Sebagai langkah pencegahan, beliau berkata kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara supaya kes yang membabitka­n kematian angkara pemandu mabuk turut disiasat dan dituduh mengikut Kanun Keseksaan, termasuk Seksyen 302 iaitu menyebabka­n kematian dengan sengaja ataupun Seksyen 307 iaitu cubaan membunuh dengan niat.

“Di samping itu, pihak polis juga perlu membantu keluarga mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk terutama bagi membolehka­n mereka membuat tuntutan sivil di mahkamah sebagai hak mereka di sisi undang-undang,” katanya

Menurut kenyataan itu, meskipun kerajaan bertegas dalam isu kemalangan maut membabitka­n pemandu mabuk, ia tidak bermakna kerajaan menafikan hak orang bukan Islam untuk ambil minuman keras.

“Mereka (orang bukan Islam) bebas berbuat demikian selagi mematuhi segala peruntukan undang-undang yang berkaitan dengannya,” katanya. BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia