Berita Harian

Pinjaman TEKUN bantu ibu tunggal teruskan perniagaan

-

Sik: Wabak COVID-19 sememangny­a memberi kesan kepada peniaga, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) apabila pendapatan mereka rata-ratanya terjejas berikutan pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanap­un, situasi itu sedikit pun tidak mematahkan semangat ibu tunggal, Noor Hidayu Che Teh, 26, untuk meneruskan perniagaan kuih yang dijalankan secara kecil-kecilan di Kampung Banggol Kiat, di sini.

Ibu kepada dua anak itu bersyukur apabila permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional (CBRM ), diluluskan dan kini dia sudah menerima 20 peratus daripada RM10,000 jumlah pinjaman.

CBRM ialah skim pembiayaan mikro bagi usahawan yang terjejas kesan daripada COVID-19 untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada.

Noor Hidayu berkata, pinjaman awal yang diterima pada April lalu digunakan bagi meneruskan perniagaan­nya secara dalam talian selepas gerai jualannya tidak dapat beroperasi sepanjang PKP.

“Saya akui pendapatan terjejas sepanjang PKP dan sebelum menerima wang pinjaman saya menggunaka­n wang simpanan untuk meneruskan perniagaan.

“Namun, selepas menerima wang pinjaman sebanyak 20 peratus, ia sedikit sebanyak dapat menampung modal menjual kuih muih selain saya turut gunakan sebagai modal perniagaan sampingan lain seperti menjual kek dan barangan kosmetik,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noor Hidayu berkata, beliau kini berasa sedikit lega apabila dapat menjalanka­n semula perniagaan kuih dengan keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan menerusi dalam talian yang dijalankan.

“Saya tidak tahu macam mana nak mulakan perniagaan semula sekiranya tiada pinjaman ini kerana saya tidak mempunyai sumber pendapatan lain.

“Pinjaman ini membolehka­n saya membuat modal pusingan sekali gus membantu kelangsung­an perniagaan yang saya jalankan,” katanya.

Mengenai baki pinjaman yang belum diterima, Noor Hidayu bercadang untuk membina sebuah lagi stor jualan yang membabitka­n kos RM2,000 untuk membesarka­n perniagaan dan menambah beberapa menu makanan lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia