Berita Harian

Dua beradik usaha tanaman nanas raih ribuan ringgit sebulan

-

Rantau Panjang: Tekad dua beradik untuk berbudi kepada tanah dengan mengusahak­an nanas ternyata memberi hasil lumayan apabila mampu memperoleh pendapatan ribuan ringgit seminggu.

Mohammad Naqiuddin Che Hashim, 24, dan adiknya Mohammad Hasrul, 19, kini mampu tersenyum gembira apabila hasil titik peluh mereka menanam nanas di tanah seluas 4.8 hektar membuahkan hasil lumayan.

Mereka yang baru pertama kali mengusahak­an tanaman itu, mampu mengeluark­an 1,000 sehingga 2,000 kilogram seminggu, bergantung permintaan pemborong atau pelanggan.

Mohammad Naqiuddin berkata, mereka turut dibantu bapanya, Che Hashim Che Hasan, 55, daripada segi kewangan dan sokongan bagi memastikan projek tanaman nanas itu berhasil, selain banyak berkongsi ilmu pertanian.

“Alhamdulil­lah, permintaan nanas jenis madu kaca yang kami usahakan ini mendapat permintaan tinggi termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah permintaan meningkat dari semasa ke semasa.

“Nanas ini dijual pada harga RM2.50 sehingga RM3 sekilogram dan harganya berubah bergantung kepada pasaran. Kami turut mengusahak­an jenis MD2, namun masih belum dapat dijual kerana belum matang sepenuhnya.

“Menjadi petani mudah, kena ada kesabaran, semangat tinggi dan rajin kerana ia memerlukan kerahan tenaga supaya tanaman dapat diusahakan sebaiknya,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Rambutan di sini, kelmarin.

Mohamad Naqiuddin berkata, mereka turut dibantu empat pekerja untuk proses menanam serta mengutip hasil.

Katanya, antara cabaran mengusahak­an tanaman nanas ialah tempoh matang mengambil masa lama, iaitu lebih setahun, namun masak secara berperingk­at, selain serangan haiwan perosak seperti kera dan babi hutan.

“Kami juga terpaksa meredah jalan hutan lebih tiga kilometer dengan menunggang motosikal atau menaiki pacuan empat roda (4WD) kerana jalannya agak mencabar. Kami mahu membuktika­n pertanian mampu memberi pulangan lumayan dan menyeru anak muda turut sama bertani memandangk­an situasi sekarang sukar mendapatka­n pekerjaan,” katanya.

 ?? (Foto Syaherah Mustafa/bh) ?? Mohammad Naqiuddin (kiri) dan adiknya Mohammad Hasrul (kanan) bersama hasil nanas dari kebun mereka di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang.
(Foto Syaherah Mustafa/bh) Mohammad Naqiuddin (kiri) dan adiknya Mohammad Hasrul (kanan) bersama hasil nanas dari kebun mereka di Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia